Advertisements
Artikel Pilihan

ADIK PAUL WALKER DIJEMPUT PANDU GR SUPRA FINAL EDITION

Toyota USA menerbitkan sebuah video khas berjudul GR Supra | The Last Drive sebagai penghormatan kepada generasi kelima GR Supra yang menamatkan perjalanan produksinya pada 2026. Video tersebut menampilkan Cody Walker, adik kepada mendiang Paul Walker, yang diberikan peluang untuk memandu GR Supra MkV Final Edition dalam sebuah perjalanan penuh nostalgia.

Video berkenaan bukan sekadar memaparkan sebuah kereta sport melakukan pemanduan di jalan berliku, sebaliknya menjadi simbolik kepada perjalanan panjang model Supra serta komuniti peminat yang terus menyokongnya sejak diperkenalkan beberapa dekad lalu.

Toyota menggambarkan Supra sebagai sebuah model yang dibentuk oleh prestasi, reka bentuk dan semangat pemanduan, selain mempunyai hubungan istimewa dengan peminatnya.Pemilihan Cody Walker sebagai individu yang memandu GR Supra Final Edition turut memberikan makna tersendiri kepada video tersebut.

Abangnya Paul Walker, merupakan antara individu yang banyak membantu menjadikan Toyota Supra generasi keempat atau A80 sebagai sebuah ikon automotif global menerusi filem The Fast and the Furious yang ditayangkan pada 2001 membawa watak Brian O’Conner yang dilakonkan memandu sebuah Toyota Supra berwarna oren yang kemudiannya menjadi antara kereta paling dikenali dalam sejarah francais tersebut.

Hubungan Paul Walker dengan dunia automotif dan minatnya terhadap kereta Jepun menjadikan Supra sebahagian daripada legasi yang terus diingati peminat sehingga hari ini. Menerusi video The Last Drive, Cody Walker mengambil tempat di belakang stereng GR Supra MkV Final Edition untuk sebuah perjalanan terakhir yang meraikan sejarah model tersebut.

Rakaman itu turut membawa penonton mengimbas kembali perjalanan beberapa generasi Supra, sekali gus memperlihatkan bagaimana model berkenaan berkembang daripada sebuah kereta sport kepada ikon budaya automotif. GR Supra generasi kelima diperkenalkan pada 2019 selepas tidak ditawarkan selama 17 tahun.

Kemunculannya semula merupakan hasil usaha Akio Toyoda bersama sebuah pasukan kecil untuk menghidupkan kembali model sport berkenaan di bawah jenama Gazoo Racing. Bagi model tahun 2026, Toyota memperkenalkan GR Supra MkV Final Edition sebagai edisi khas untuk menandakan penghujung generasi tersebut.

Ia mengekalkan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang menghasilkan kuasa 382 hp dan tork 499 Nm dengan pilihan transmisi automatik lapan kelajuan atau manual enam kelajuan bergantung kepada varian.

Versi Final Edition turut menerima beberapa penambahbaikan pada bahagian casis dan pengendalian seperti sistem suspensi yang dikemas kini, tahap kekakuan badan lebih tinggi, talaan pembeza elektronik yang diperhalusi serta sistem brek Brembo dengan cakera lebih besar.

Toyota turut melakukan perubahan pada aspek aerodinamik bagi meningkatkan kestabilan dan prestasi ketika mengambil selekoh. Pada 8 September 2026, Toyota mengumumkan bahawa unit GR Supra MkV Final Edition terakhir yang dihasilkan akan disumbangkan kepada organisasi kebajikan Reach Out WorldWide (ROWW).

Organisasi tersebut diasaskan oleh Paul Walker pada 2010 dan menjalankan misi bantuan bencana di pelbagai lokasi. Unit khas satu-satunya itu mempunyai kuasa 382 hp dan dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan. Ia turut dilengkapi beberapa perincian eksklusif serta ciri peringatan khas yang menjadikannya berbeza daripada GR Supra produksi biasa.

Kenderaan berkenaan akan dilelong bagi mengumpulkan dana untuk menyokong misi bantuan bencana ROWW. Langkah tersebut memberikan satu lagi dimensi kepada penamat perjalanan GR Supra generasi kelima, khususnya apabila ia turut dikaitkan dengan legasi Paul Walker.

Menerusi The Last Drive, Toyota bukan sekadar meraikan sebuah kereta sport yang menamatkan pengeluaran, tetapi turut mengiktiraf hubungan antara sebuah model automotif dengan individu, peminat dan komuniti yang membentuk sejarahnya. Bagi peminat Supra, perjalanan generasi kelima mungkin sudah sampai ke penghujung, namun legasi nama tersebut pastinya akan terus hidup dalam dunia automotif.

Google ads
Back to top button