11 IKON JDM BAKAL DILELONG – SILA CEK KONDISI BUAH PINGGANG MASING-MASING
Satu koleksi terbaik di antara terbaik model-model JDM bakal dilelong menerusi Bring a Trailer. Ia dijangka akan mendapat sambutan hangat berdasarkan model-model yang disenaraikan. Adoi sempat lagi ke nak jual buah pinggang ni?
Koleksi 11 buah kereta ini sebelum ini berada dalam jagaan The Cultivated Collector, pengedar kenderaan dari New Canaan, Connecticut. Koleksi tahun 90 an ini memang menjadi kegilaan generasi sebaya Abang Japar dan yang seangkatan dengannya.
Pendahulu senarai semestinya sebuah Nissan Pulsar GTi-R 1990 dengan nombor siri 13 daripada 21 unit seluruh dunia. Tambah menarik bila pemilik sebelumnya merupakan CEO Nismo sendiri. Perbatuan hanya 4,700 sahaja.
Tempat kedua kami beri kepada Mazda Autozam AZ-1 1992 dengan perbatuan 72,000 kilometer diikuti model eksotik Honda NSX-R yang merupakan satu daripada 483 yang dikeluarkan di muka bumi ini. Perbatuan hanyalah 37,592 kilometer (mesti pandu untuk pergi minum kopi pagi Ahad je ni).
Model-model lain dari koleksi ini ialah Nissan Skyline R32 GT-R V-Spec LL N1 (casis no 35 dari 63 unit seluruh dunia dengan perbatuan 8,000 kilometer). Seterusnya diikuti oleh Toyota Supra RZ 1994, Subaru Impreza STI Wagon 1994, Mitsubishi Lancer Evolution II GSR 1994, Nissan Skyline R33 GT-R V-Spec 1995, Toyota Century LWB 1995, Honda Integra Type R 1996 dengan lambakan jajan Mugen dan akhir sekali ialah sebuah Mitsubishi Lancer Evolution IV GSR bebas modifikasi keluaran tahun 1996.
Fuh semua sedap-sedap ni. Kira Dream list dah ni cuma duit dalam akaun je menjadi batu penghalang.
Kesemua kereta berada dalam keadaan baik dan terjaga dan dijangkakan NSX-R tu memang mempunyai nilai tertinggi la selain Nissan Skyline R32 GT-R V-Spec II N1. Tapi serius cakap la dapat Evo IV standard tu pun dah rasa macam dapat kahwin bini muda sorang lagi.