Buletin

TOYOTA KINI MAHU BINA PESAWAT ELEKTRIK eVTOL, JALIN KERJASAMA DENGAN JOBY

Toyota kini dilihat semakin serius meneroka dunia mobiliti udara apabila syarikat itu mengumumkan kerjasama strategik bersama Joby Aviation menerusi penubuhan sebuah syarikat usaha sama baharu di California, Amerika Syarikat.

Langkah ini sekali gus menandakan penglibatan lebih mendalam Toyota dalam sektor pembuatan pesawat elektrik masa depan.

Usaha sama yang dinamakan Joby Toyota Aero Manufacturing Preparation Company itu bakal dikawal majoriti oleh Toyota Motor Corporation dengan pegangan sebanyak 51 peratus.

Kerjasama ini dibentuk bagi menggabungkan kepakaran Joby dalam teknologi penerbangan elektrik bersama pengalaman luas Toyota dalam sistem pengeluaran dan operasi pembuatan berskala besar.

Menurut kenyataan kedua-dua syarikat, fokus awal usaha sama tersebut adalah menyediakan asas pengeluaran komersial untuk pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL).

Mereka juga mahu meningkatkan kecekapan pengeluaran, mutu pembuatan serta mengurangkan kos bagi memenuhi permintaan masa depan yang dijangka semakin meningkat.

Pengerusi Toyota, Akio Toyoda berkata, sejak penubuhan syarikat itu, Toyota sentiasa berpegang kepada falsafah menyediakan mobiliti untuk semua.

Beliau menyifatkan mobiliti udara sebagai kesinambungan semula jadi kepada visi tersebut, daripada jalan raya ke ruang udara.

Toyota sebenarnya telah melabur ratusan juta dolar ke dalam Joby sejak tahun 2020, sekali gus menunjukkan keyakinan mereka terhadap potensi industri teksi udara elektrik pada masa depan.

Sebagai rekod, Joby sedang membangunkan pesawat teksi udara elektrik yang direka untuk menawarkan perjalanan lebih lancar antara pengangkutan darat dan penerbangan.

Syarikat itu turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa nama besar termasuk Delta Air Lines dan Uber.

Pesawat eVTOL keluaran Joby menggunakan enam rotor dan mampu membawa empat penumpang bersama seorang juruterbang.

Ia juga dikatakan boleh mencapai kelajuan sehingga 322km/j selain dilengkapi beberapa sistem keselamatan tambahan termasuk bateri berganda dan kipas berputar fleksibel untuk meningkatkan tahap keselamatan penerbangan.

Google ads
Back to top button