
HYUNDAI IONIQ 3 VARIAN STANDARD DAN LONG RANGE DIDEDAHKAN – BATERI 61KWH, TAWAR JARAK GERAK 496KM
Hyundai akhirnya memperlihatkan versi standard bagi model elektrik baharu mereka, Hyundai Ioniq 3, selepas sebelum ini tumpuan lebih banyak diberikan kepada varian N Line yang tampil lebih agresif dan sporty ketika pelancarannya pada April lalu.
Berbanding N Line, versi standard Ioniq 3 hadir dengan penampilan yang lebih ringkas dan kemas, sekali gus memberi imej lebih santai serta mesra pengguna harian.
Rekaan luarannya masih mengekalkan identiti futuristik Hyundai menerusi konsep “Aero Hatch”, gabungan elemen hatchback, fastback dan crossover dalam satu pakej.
Bahagian hadapan kini tampil lebih bersih tanpa liang udara besar dan kemasan hitam seperti pada N Line. Lampu LED terpisah bersama grafik empat titik pada gril nipis masih dikekalkan sebagai identiti utama model ini.

Di sisi pula, Hyundai menggunakan cermin sisi berwarna badan dan pilihan rim antara 16 hingga 18-inci, berbeza dengan rim 19-inci yang digunakan pada N Line.
Di belakang, spoiler juga direka lebih kecil manakala diffuser belakang tampil lebih sederhana tanpa elemen sirip aerodinamik yang agresif.
Ruang kabin turut menerima sentuhan lebih cerah dengan kombinasi warna lembut menggantikan tema hitam-merah pada N Line.
Hyundai menyifatkan konsep dalaman ini sebagai “Furnished Space”, dengan fokus terhadap keselesaan dan rasa premium.

Salah satu ciri utama yang diperkenalkan ialah sistem infotainmen baharu berasaskan Android dikenali sebagai Pleos Connect.
Sistem ini sebelum ini hanya digunakan pada model Grandeur facelift di Korea Selatan, dan kini mula diperkenalkan pada model untuk pasaran Eropah.
Bergantung kepada varian, skrin sentuh ditawarkan dalam saiz 12.9-inci atau 14.6-inci, bersama kluster instrumen digital nipis sebagai pilihan tambahan.
Hyundai turut memaklumkan bahawa Pleos App Market akan menawarkan sekitar 30 aplikasi pihak ketiga ketika pelancaran awal, dengan lebih banyak aplikasi dijangka ditambah menjelang hujung tahun ini.

Selain itu, model ini turut dilengkapi pembantu suara pintar Gleo AI yang mampu menyokong perbualan lebih natural bersama pengguna.
Untuk peringkat awal, Hyundai Ioniq 3 akan ditawarkan dalam dua pilihan iaitu Standard dan Long Range, kedua-duanya menggunakan motor elektrik tunggal. Varian asas menghasilkan 144hp dengan bateri 42.2kWh yang mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 344km mengikut standard WLTP.
Varian Long Range pula menggunakan bateri lebih besar berkapasiti 61kWh dan menawarkan jarak pemanduan sehingga 496km bagi sekali cas penuh, walaupun kuasanya sedikit rendah pada 133hp.
Model ini dibangunkan menggunakan platform E-GMP versi 400-Volt yang turut dikongsi bersama Kia EV3 dan EV4. Hyundai menjelaskan pembangunan Ioniq 3 dilakukan dengan mengambil kira corak pemanduan serta infrastruktur pengguna di Eropah.
Pada masa sama, Hyundai turut memberi bayangan kemungkinan memperkenalkan versi prestasi tinggi berlabel N pada masa depan, berkemungkinan menggunakan sistem dua motor elektrik dan talaan casis lebih agresif.
Buat masa ini, Hyundai masih belum mengumumkan harga rasmi Ioniq 3 untuk pasaran Eropah. Pengeluaran model tersebut akan dilakukan di kilang Hyundai di Izmit, Turki, dengan penghantaran pertama dijangka bermula sekitar suku ketiga tahun 2026.

