Buletin

VOLVO EC40 SINGLE MOTOR DIBUKA UNTUK TEMPAHAN – HARGA RM248,888

Volvo Car Malaysia kini membuka tempahan untuk model EC40 Single Motor bagi tahun 2026, dengan harga jualan disyorkan RM248,888.

Model ini hadir sebagai pilihan lebih berpatutan, iaitu kira-kira RM40,000 lebih rendah berbanding varian Twin Motor yang sudah berada di pasaran.

Walaupun lebih “ringan” dari segi konfigurasi enjin, versi Single Motor ini tetap menggunakan spesifikasi Ultra, iaitu tahap paling tinggi untuk model EC40.

Ia dipacu motor elektrik magnet kekal generasi kedua rekaan Volvo, dipasang di gandar belakang dengan kuasa 238hp. Hasilnya, SUV elektrik ini mampu memecut dari sifar ke 100km/j dalam 7.3 saat.

Kuasa disokong pek bateri berkapasiti 70kWh, yang memberikan jarak pemanduan sehingga 488km (WLTP). Untuk pengecasan pantas DC, bateri boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 26 minit.

Menambah tarikan visual, EC40 Single Motor turut diperkenalkan dengan warna baharu Sand Dune, iaitu tona metalik hangat yang diinspirasikan daripada landskap bukit pasir di pantai barat Sweden. Pilihan warna lain termasuk;

  • Aurora Silver
  • Onyx Black
  • Crystal White

Bahagian dalaman meneruskan pendekatan bebas kulit, dengan gabungan material Charcoal Connect suede textile dan Charcoal Microtech, menjadikannya lebih mesra alam tanpa mengorbankan gaya premium.

Selain itu, kemasan Cutting Edge pada papan pemuka dan pintu memberi sentuhan moden.

Sistem antaramuka pula menggunakan reka bentuk baharu yang lebih ringkas, pertama kali diperkenalkan pada EX30. Paparan disediakan melalui skrin tengah 9-inci dengan Google built-in serta paparan pemandu 12.3-inci.

Dari segi keselamatan, EC40 Single Motor dilengkapi penuh dengan pakej Safe Space Technology – termasuk sistem bantuan pemandu pintar, teknologi pencegah pelanggaran dan struktur badan yang direka untuk perlindungan optimum.

Bagi pelanggan yang membuat tempahan awal, Volvo Car Malaysia menawarkan insurans percuma tahun pertama bernilai RM5,600 serta baucar pengecas wallbox bernilai RM5,000, promosi yang sah untuk masa terhad.

Maklumat lanjut mengenai EC40 boleh didapati melalui laman rasmi Volvo Car Malaysia di volvocars.com/my.

Google ads
Back to top button