
AEROFUGIA, ANAK SYARIKAT GEELY MULA PENGELUARAN PROTOTAIP EVTOL AE200-100, LEBIH 1 RIBU TEMPAHAN!
Aerofugia, syarikat penerbangan am altitud rendah yang dimiliki oleh Geely Holding Group mengumumkan permulaan pengeluaran untuk prototaip pesawat mobiliti bandar eVTOL (Kenderaan Pelepasan dan Pendaratan Menegak Elektrik) enam tempat duduk AE200-100.
Langkah ini merupakan pencapaian penting dalam pembangunan kenderaan eVTOL penumpang berskala besar.
Ia juga menandakan bahawa AE200-100 kini telah memasuki fasa akhir untuk pensijilan kelayakan udara, pra-pengeluaran dan akhirnya pengeluaran secara besar-besaran.
Inovasi Reka Bentuk dan Kelebihan Utama
AE200-100 adalah produk pertama yang dibangunkan secara bebas oleh Aerofugia. Varian prototaip ini menampilkan konfigurasi inovatif lapan rotor dan empat sayap condong.
Sebagai pesawat eVTOL berkapasiti enam tempat duduk dan dikendalikan juruterbang sepenuhnya berkuasa elektrik, AE200 menawarkan kelebihan ketara dari segi keselamatan, ekonomi, keselesaan dan perlindungan alam sekitar.
Kejayaan memulakan pengeluaran prototaip AE200 membuktikan kedudukan utama Aerofugia dalam sektor penerbangan altitud rendah.
Setelah memperoleh pensijilan kelayakan udara dan pensijilan jenis yang diperlukan, varian pengeluaran AE200 akan memulakan pengkomersialan.
Permintaan Pasaran Yang Kukuh
Aerofugia telah pun menerima lebih 1,000 tempahan komersial untuk AE200 setakat ini, dengan kapasiti pengeluaran tahun pertama ditempah sepenuhnya, mencerminkan permintaan pasaran yang tinggi.
Tempahan diterima dari kawasan metropolitan utama di China dan antarabangsa, termasuk dari syarikat seperti Sichuan Airlines, Hualong Airlines, Pusat Operasi Altitud Rendah Pengangkutan Bandar Shenzhen, dan SIT Thailand.
Prestasi awal syarikat yang mengagumkan dan pengeluaran AE200 yang akan datang menunjukkan pengiktirafan pasaran terhadap teknologi eVTOL dan potensinya yang tinggi.
Dengan jarak operasi 200 kilometer (km), AE200 sesuai digunakan untuk mobiliti udara bandar, pelancongan altitud rendah dan operasi penyelamatan kecemasan.
Selain itu, sistem pemacu elektrik AE200 dijangka akan mengurangkan kos operasi secara signifikan berbanding helikopter tradisional.
AE200 juga telah berjaya menyelesaikan ujian penerbangan peralihan condong sepenuhnya (all-tilt transition flight test), menjadikannya eVTOL berpandu pertama di China dan yang kedua di dunia yang mencapai kejayaan ini.
Dengan tempahan tahun pertama yang penuh, Aerofugia merancang untuk mempercepatkan pengkomersialan menyeluruh produk dan teknologi eVTOL.



