
PELANGGAN SANGKA BUDI95 MINYAK PERCUMA, JURUWANG JADI MANGSA KENA MARAH
Pelaksanaan program subsidi bersasar petrol RON95 melalui inisiatif Budi Madani (BUDI95) yang bermula secara berperingkat sejak 27 September lalu terus menjadi bualan orang ramai.
Di media sosial, pelbagai pengalaman dikongsi, termasuk cerita seorang juruwang stesen minyak yang berdepan situasi penuh salah faham.
Menurut juruwang berkenaan, seorang wanita datang ke kaunter untuk mengisi petrol RON95 bernilai RM50.
Namun apabila ditanya kaedah bayaran sama ada tunai atau eWallet, pelanggan itu terkejut kerana menyangka minyak boleh ditebus secara percuma seperti bantuan MySara.

“Penat saya terangkan, dia tetap tak faham. Ingat kerajaan bagi percuma 300 liter. Subsidi dengan percuma tu lain, kak,” tulis juruwang tersebut dalam hantaran yang tular.
Untuk makluman, program BUDI95 menetapkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter (berbanding harga biasa RM2.05 seliter) khusus untuk rakyat tempatan yang layak.
Setiap individu menerima kuota 300 liter sebulan, tetapi masih perlu membayar mengikut harga subsidi.
Juruwang itu turut berkongsi, selepas dimaklumkan minyak tidak percuma, pelanggan terbabit membatalkan niat untuk mengisi.

Lebih mengejutkan, beliau turut dipersalahkan kerana pelanggan berkenaan tidak dapat “menebus” petrol percuma.
Kisah tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen. Ada yang bersimpati dengan pekerja barisan hadapan seperti juruwang yang terpaksa berdepan soalan pelik, dan ada juga menegaskan pihak berwajib perlu memberikan penerangan lebih jelas supaya rakyat benar-benar faham maksud subsidi.
“Macam-macam kerenah sekarang. Dah terbiasa dapat bantuan percuma, semua ingat boleh isi minyak tanpa bayar,” komen seorang pengguna media sosial. –Mstar







