
VOLVO XC40 RECHARGE PURE ELECTRIC LAKU KERAS. TERIMA 400 TEMPAHAN, PESANAN UNTUK MODEL TAHUN 2022 DITUTUP
Volvo Car Malaysia (VCM) memaklumkan bahawa kenderaan elektrik pertamanya, XC40 Recharge Pure Electric mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Sejak dilancarkan pada Mac 2022 di Malaysia, VCM telah menerima lebih 400 tempahan sehingga kini dan menyerahkan lebih 120 unit kepada pembelinya di seluruh negara.
“Jumlah jualan yang menggalakkan menjadi batu loncatan dalam perjalanan kami ke arah elektrik sepenuhnya. Hanya beberapa bulan lalu kami melancarkan kenderaan elektrik pertama dan mengumumkan pemasangan kereta EV tempatan. Kami mula menyerahkan kereta elektrik ini kepada pelanggan sejak April,” kata Pengarah Urusan VCM, Charles Frump.

VCM turut mengumumkan bahawa disebabkan oleh permintaan yang tinggi, pesanan secara dalam talian XC40 Recharge Pure Electric model tahun 2022 kini ditutup. Pesanan akan diambil semula selepas pengenalan model tahun 2023. Butiran lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.
XC40 Recharge Pure Electric hadir dengan rangkaian kuasa elektrik bersama sistem pacuan semua roda yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 418km. Ia hadir dalam lima pilihan warna iaitu putih, hitam, biru, perak dan hijau.
Mereka yang berminat boleh menempah pandu uji melalui www.volvocars.com/my atau menghubungi mana-mana pengedar sah Volvo. Maklumat lanjut, sila layari www.volvocars.com/my atau ikuti Volvo Car Malaysia di Facebook http://bit.ly/VolvoMY-FB dan Instagram di http://bit.ly/VolvoMY-IG