Buletin

JUALAN EKSPORT PROTON NAIK 175% PADA Q1 2022

PROTON mencatat peningkatan jumlah keseluruhan eksport sebanyak 175 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu. Penambahan jualan eksport PROTON pada tahun itu berikutan peningkatan permintaan sebanyak 77 peratus dan 31 peratus bagi Proton X50 dan Proton X70. 

Pertumbuhan itu dijangka terus naik kerana PROTON mempunyai sasaran untuk menambah jualan sebanyak 300 peratus. Untuk mencapai sasaran itu, operasi pemasangan tempatan (KD) perlu diperluaskan.

Buat masa kini, operasi sedang berjalan di Pakistan, Kenya dan Bangladesh dengan Sri Lanka bakal sertai senarai negara pada separuh tahun kedua 2022. 

Bagi tiga tahun sebelum ini, PROTON telah menambahkan pegangan jumlah bagi kenderaan eksport Malaysia dari 12.8 peratus pada tahun 2019 kepada 30.2 peratus pada 2020 dan 61.0 peratus pada 2021, walaupun berdepan banyak halangan akibat pandemik Covid-19.

“Peningkatan jualan eksport amat penting bagi PROTON jika kami ingin mencapai sasaran jangka masa panjang.

Syarikat perlu memasuki lebih banyak pasaran baru untuk meningkatkan lagi jumlah jualan. Kami juga  telah membuat pelaburan di Tanjung Malim bagi operasi luar negara untuk memastikan kami dapat menyambut sebarang peluang yang bakal diterima,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah. 

Dalam perkembangan berkaitan, PROTON dilapor telah membuat penghantaran pertama ke Afrika Selatan pada 27 Mei lalu. Stok penghantaran itu terdiri daripada Proton X50, Proton X70 dan Proton Saga. 

Ini merupakan penghantaran pertama ke negara itu sejak tahun 2012 selepas CMH Group dilantik sebagai pengedar kenderaan Proton di sana. Kapal yang mengangkut kenderaan itu berlepas dari Westport, Klang,dan dijangka tiba di Durban, Afrika Selatan pada Julai depan. 

CMH Group sedang berusaha untuk menyediakan rangkaian pengedaran mereka. Justeru, PROTON merancang untuk melancarkan model pada akhir suku ketiga tahun ini.

Minggu lalu, beberapa ahli pengurusan CMH Group telah melawat Malaysia untuk bermesyuarat bersama PROTON serta melawat pengedar dan kilang di Tanjung Malim. 

Google ads
Back to top button