Buletin

VOLVO XC40 TERIMA SENTUHAN BAHARU MENJELANG ULANG TAHUN KE-10, LANCAR TAHUN DEPAN

Volvo XC40 nampaknya masih belum bersedia untuk bersara walaupun usianya bakal mencecah sedekad.

SUV kompak premium dari Sweden itu sekali lagi dikesan menjalani ujian jalan raya dengan kemas kini baharu, sekali gus memberi bayangan bahawa Volvo masih mahu mengekalkan model generasi semasa untuk beberapa tahun lagi sebelum pengganti penuh diperkenalkan.

Model ini mula muncul sebagai konsep pada 2016 sebelum memasuki pasaran setahun kemudian. Ia menerima facelift pertama pada 2022, namun imej intip terbaru menunjukkan Volvo sedang menyiapkan satu lagi kemaskini besar yang dijangka diperkenalkan sekitar 2027.

Prototip yang dirakam ketika sesi ujian cuaca panas di Sepanyol itu masih mengekalkan siluet keseluruhan XC40 sedia ada, termasuk reka bentuk tingkap sisi dan profil badan yang sinonim dengan model tersebut. Bagaimanapun, bahagian hadapan jelas menerima sentuhan baharu.

Lampu utama dilihat lebih nipis dengan grafik LED “Thor’s Hammer” yang dikemaskini, manakala gril depan disembunyikan di sebalik pelekat penyamaran.

Bampar hadapan turut diberikan rekaan lebih kemas tanpa liang udara sisi seperti model terdahulu, selain penggunaan pelindung bawah yang lebih tebal.

Di belakang, lampu berbentuk L masih dikekalkan tetapi ditutup dengan pita hitam bagi menyembunyikan corak LED baharu.

Pintu belakang juga kelihatan lebih rata berbanding sebelum ini, sementara reflektor pada bampar belakang kini lebih kecil dan diletakkan lebih rendah. Paip ekzos berkembar yang kelihatan pada prototaip dipercayai hanya unit sementara dan bakal digantikan sebelum versi produksi dilancarkan.

Bahagian kabin turut dijangka menerima perubahan penting. Beberapa imej menunjukkan penggunaan skrin infotainmen menegak baharu yang menyerupai sistem dalam Volvo EX30.

Selain itu, Volvo juga dijangka memperkenalkan material dalaman serta pilihan kemasan baharu bagi memberikan suasana lebih moden.

Dari sudut mekanikal, XC40 dijangka terus menawarkan pilihan enjin sedia ada termasuk mild-hybrid, plug-in hybrid serta versi elektrik penuh yang dikenali sebagai EX40.

Namun begitu, unit enjin pembakaran dalaman mungkin menerima penambahbaikan untuk memastikan ia terus mematuhi piawaian emisi ketat Eropah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Volvo juga berkemungkinan melakukan talaan semula pada sistem suspensi dan casis bagi meningkatkan tahap keselesaan pemanduan.

Facelift kedua XC40 dijangka diperkenalkan pada 2027, tahun yang sama model itu menyambut ulang tahun ke-10.

Versi elektrik EX40 dijangka menerima pakej kemas kini yang sama, dengan beberapa perincian rekaan tersendiri untuk membezakannya sebagai model EV.

Google ads
Back to top button