Buletin

VOLVO JADI RAKAN PENGANGKUTAN RASMI AJL40, IRINGI FINALIS KE MALAM KEMUNCAK

Volvo Car Malaysia mengumumkan kerjasama dengan TV3 bagi penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), sekali gus tampil sebagai rakan pengangkutan rasmi acara muzik paling berprestij negara itu.

Kerjasama tersebut menyaksikan Volvo membawa tema “Selamat” yang diperkenalkan syarikat itu awal tahun ini ke pentas hiburan terbesar Malaysia, dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada aspek keselamatan di jalan raya, malah kesejahteraan dan ketenangan para artis yang terlibat.

Menurut Volvo Car Malaysia, konsep “Selamat” yang diketengahkan menerusi AJL40 melangkaui fungsi pengangkutan semata-mata. Sebaliknya, ia turut menekankan pengalaman perjalanan yang selesa dan menenangkan buat para finalis sebelum mereka beraksi di malam kemuncak.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw berkata, falsafah keselamatan Volvo bukan sekadar melindungi penumpang secara fizikal, malah turut merangkumi ketenangan emosi.

“AJL merupakan acara paling penting dalam industri muzik tempatan. Melalui peranan kami sebagai ‘Rakan Selamat’, kami mahu memberikan pengalaman yang lebih tenang dan meyakinkan kepada para finalis sebelum mereka melangkah ke pentas bersejarah ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kolaborasi tersebut memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali dengan lebih dekat ciri keselamatan serta kemewahan yang menjadi identiti Volvo.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof menyifatkan kerjasama itu sebagai satu nilai tambah yang signifikan sempena ulang tahun ke-40 AJL.

Menurutnya, sambutan empat dekad AJL menjadi lebih bermakna dengan penglibatan sebuah jenama global yang berkongsi nilai keselamatan dan kekeluargaan yang selari dengan aspirasi penganjur.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, Volvo sebelum ini turut menyokong siri jelajah promosi AJL40 yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar negara pada Julai dan Ogos lalu.

Menjelang malam kemuncak AJL40, beberapa model Volvo termasuk ES90, XC90, XC60, EC40 dan EX30 akan digunakan untuk membawa 10 finalis utama ke lokasi acara yang berlangsung di Unifi Arena pada 15 Ogos 2026.

Dalam usaha memperluaskan mesej keselamatan kepada orang ramai, Volvo juga akan menampilkan ruang interaktif khas di kawasan karpet merah menerusi platform digital dikenali sebagai Selamat Calculator yang dibangunkan bersama Mr Money TV.

Inisiatif tersebut bertujuan membantu pengunjung memahami kepentingan membuat keputusan yang lebih bijak berkaitan keselamatan dan perancangan masa depan melalui pendekatan yang lebih mudah difahami.

Dengan gabungan dunia automotif dan hiburan, AJL40 dijangka menawarkan pengalaman berbeza kepada peminat apabila barisan finalis tiba dengan iringan model-model premium Volvo sebelum persaingan merebut gelaran Juara Lagu edisi ke-40 bermula.

Google ads
Back to top button