
VOLVO CAR MALAYSIA CATAT SEJARAH DENGAN GRAND EFFIE DAN BRAND OF THE YEAR
Volvo Car Malaysia melakar sejarah baharu dalam industri automotif tempatan selepas membolot anugerah utama pada Malaysia Effie Awards 2026, termasuk Grand Effie dan gelaran Brand of the Year.
Pencapaian itu turut menyaksikan Volvo menjadi jenama automotif pertama dalam sejarah anugerah berkenaan yang meraih Gold Effie, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama paling berkesan dalam menghasilkan kempen pemasaran yang memberi impak kepada pengguna.
Pada malam berkenaan, Volvo Car Malaysia membawa pulang beberapa pengiktirafan menerusi kempen keselamatan ‘Selamat is Volvo’.
Antara pencapaian yang diraih ialah:
- Grand Effie: Selamat is Volvo
- Brand of the Year: Volvo
- Gold Effie: David vs. Goliath (Situational)
- Bronze Effie: Automotive – Vehicles
- Finalis: Multicultural – Products
Kejayaan tersebut hadir selepas Volvo Car Malaysia melalui minggu penting dengan pelancaran SUV keluarga flagshipnya, Volvo EX90 yang dipertingkatkan.

Kempen keselamatan berteraskan budaya Malaysia
Kempen ‘Selamat is Volvo’ diperkenalkan dengan pendekatan berbeza apabila Volvo pada awalnya tidak mendedahkan identiti sebenar di sebalik jenama ‘Selamat’.
Sebaliknya, kempen itu menggunakan kenderaan berbalut penyamaran, paparan digital luar yang penuh teka-teki serta kandungan media sosial bagi mencetuskan rasa ingin tahu dalam kalangan orang ramai.
Identiti sebenar kemudiannya didedahkan bahawa ‘Selamat’ sebenarnya merupakan sebahagian daripada kempen Volvo untuk menghidupkan semula janji keselamatan yang telah menjadi teras jenama itu selama enam dekad di Malaysia.
Pengarah Jualan dan Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw, berkata pendekatan berkenaan bertujuan menjadikan keselamatan sesuatu yang lebih dekat dengan kehidupan masyarakat, bukan sekadar ciri teknikal sesebuah kenderaan.
Menurutnya, pengiktirafan daripada Effie membuktikan bahawa mesej yang mempunyai kaitan dengan budaya dan kehidupan seharian mampu menghasilkan hubungan emosi yang lebih kukuh dengan pengguna.
Konsep kempen itu turut memanfaatkan perkataan ‘selamat’ yang sudah sebati dalam kehidupan rakyat Malaysia, termasuk penggunaannya dalam ucapan seperti ‘Selamat Pagi’ dan ‘Selamat Jalan’.
Dalam masa sama, Volvo mengaitkan perkataan berkenaan dengan keperluan asas manusia untuk berasa selamat ketika berada di jalan raya.
Pendekatan tersebut cuba mengubah persepsi terhadap keselamatan automotif daripada sekadar spesifikasi atau keperluan peraturan kepada satu nilai bersama yang perlu menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat.
Kempen itu dilaporkan mencatatkan kadar respons terukur sebanyak 90.8 peratus, selain membantu mengukuhkan kaitan antara perkataan ‘Selamat’ dengan Volvo dalam kalangan pengguna Malaysia.
Kerjasama pelbagai agensi
Kejayaan kempen tersebut turut didorong kerjasama Volvo Car Malaysia bersama beberapa rakan agensi, termasuk Invictus Blue, Grey Malaysia, Dox Digital, LAB Activations, Directors Think Tank dan Live Experience.
Ketua Pegawai Kreatif Grey Malaysia, Graham Drew, berkata idea utama kempen adalah menggabungkan perkataan yang sudah biasa digunakan rakyat Malaysia dengan reputasi Volvo dalam aspek keselamatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Invictus Blue, Jo Yau, menjelaskan bahawa strategi media dibentuk bagi mencetuskan rasa ingin tahu sebelum identiti sebenar ‘Selamat’ dikaitkan dengan Volvo.
Pendekatan itu turut diperluaskan ke ruang fizikal melalui penggunaan kenderaan yang disamarkan, pengalaman pemanduan ‘Selamat Drive’ di Sepang serta paparan ‘Selamat Crash Car’.
Menurut LAB Activations, pengalaman secara langsung itu membolehkan mesej keselamatan disampaikan bukan hanya melalui komunikasi, tetapi turut dirasai oleh orang ramai.
Pada masa sama, strategi digital digunakan bagi menggalakkan perbincangan organik dalam kalangan pengguna media sosial dan komuniti dalam talian.
Kemenangan Grand Effie membuka peluang untuk kempen ‘Selamat is Volvo’ diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Volvo Car Malaysia juga dijangka meneruskan platform ‘Selamat’ menerusi pelbagai program pendidikan, aktiviti pengalaman serta kempen berteraskan keselamatan dan kesejahteraan komuniti pada masa akan datang.







