
VOLVO CAR MALAYSIA PERKENAL PENGECAS PINTAR VOLVO WALLBOX, HARGA RM3,990
Volvo Car Malaysia memperkenalkan pengecas pintar Volvo Wallbox bagi memudahkan urusan harian pemilik kenderaan elektrik bateri (BEV) dan hibrid plug-in (PHEV) jenama itu di rumah.
Pengecas baharu tersebut direka untuk menawarkan pengalaman pengecasan yang lebih praktikal, selamat dan lancar, selain tampil dengan rekaan minimalis Scandinavia yang menjadi identiti Volvo.
Menurut Ketua Penawaran Komersial APeC Volvo Cars, Sun Qian, pengenalan Volvo Wallbox adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan.

Katanya, pengecas itu boleh dihubungkan terus dengan aplikasi Volvo Cars App bagi membolehkan pengguna mengawal sistem pengecasan rumah hanya menerusi telefon pintar.
“Pelanggan bukan sahaja dapat mengurus kenderaan mereka dengan lebih mudah, malah boleh memantau keseluruhan proses pengecasan dari mana sahaja,” katanya.
Volvo Wallbox menyokong kelajuan pengecasan sehingga 11 kW menerusi sambungan tiga fasa, sekali gus memastikan kenderaan sentiasa bersedia digunakan setiap hari.
Pengecas tersebut juga dibina dengan perlindungan kalis cuaca IP55, sesuai digunakan dalam keadaan cuaca tempatan sama ada hujan atau panas. Ia turut didatangkan bersama kabel pengecas standard Type 2.

Dari aspek teknologi pintar, pengguna boleh memantau tahap bateri, memulakan atau menghentikan pengecasan serta menetapkan jadual pengecasan melalui aplikasi mudah alih. Sambungan boleh dilakukan menerusi Wi-Fi, Ethernet atau kad SIM pilihan.
Bagi kediaman yang mempunyai lebih daripada seorang pengguna, Volvo turut menyediakan dua kad RFID bagi memudahkan perkongsian akses pengecasan secara lebih tersusun dan selamat.
Selain itu, Volvo Wallbox juga direka untuk menyokong penggunaan tenaga masa depan apabila ia boleh disambungkan kepada meter tenaga luaran bagi membolehkan lebihan tenaga solar rumah digunakan untuk mengecas kenderaan.
Volvo Wallbox kini ditawarkan di semua pengedar sah Volvo di Malaysia pada harga RM3,990 bersama jaminan perkakasan selama 36 bulan.
Bagi pemasangan di rumah, Volvo bekerjasama dengan EV Connection Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan pemasangan profesional bermula daripada RM1,600.







