
XPENG G6 STANDARD RANGE KINI DI MALAYSA. 480KM SEKALI CAJ, BERMULA RM159K
Bermaz XPENG Sdn. Bhd., pengedar rasmi kenderaan XPENG di Malaysia hari ini memperkenalkan XPENG G6 Ultra Smart Coupe SUV Standard Range ke pasaran tempatan. Jentera tersebut melengkapkan barisan G6 yang sebelum ini merangkumi varian Long Range dan AWD Performance.
Ditawarkan pada harga bermula RM158,888 seunit, varian Standard Range direka untuk menjadikan mobiliti elektrik pintar lebih mudah diakses, tanpa menjejaskan prestasi, teknologi dan keselesaan yang menjadi identiti XPENG.
Dibina atas platform SEPA 2.0, XPENG G6 Standard Range menggunakan bateri 68.5 kWh dengan sistem 800V 5C ultra-pantas, membolehkan pengecasan 10–80% dalam hanya 12 minit. Jarak pemanduan mampu mencecah sehingga 480km (WLTP) dengan penggunaan tenaga serendah 16.6 kWh/100 km.

Model ini dikuasakan oleh motor elektrik 185 kW dan 440Nm, menawarkan pecutan responsif serta pengendalian lebih lincah hasil berat keseluruhan yang lebih ringan berbanding varian Long Range.
Dari segi teknologi, G6 Standard Range hadir dengan sistem bantuan pemanduan pintar XPILOT Assist sebagai standard, termasuk Autonomous Parking Assist, Adaptive Cruise Control dan Lane Centering Control, disokong prestasi pengkomputeran sehingga 21.5 TOPS.

Ruang kabin mengekalkan reka bentuk moden dan berteknologi tinggi dengan paparan digital responsif, sistem HMI pintar, pencahayaan ambien serta keselesaan tempat duduk yang dioptimumkan untuk perjalanan jarak jauh.
Sebagai nilai tambah, setiap pembelian XPENG G6 disertakan sama ada pakej pengecasan tanpa had selama dua tahun oleh JomCharge atau Wallbox 11kW percuma dengan pemasangan.

Ia turut dilindungi jaminan pengeluar lima tahun, servis percuma lima tahun, serta jaminan bateri voltan tinggi lapan tahun atau 160,000km.
XPENG G6 Standard Range akan dipamerkan kepada umum sempena XPENG Roadshow di LUXE, 1 Utama, dari 14 hingga 18 Januari 2026.







