
ZEEKR MALAYSIA PERLUAS RANGKAIAN PENGEDAR, SASAR 18 CAWANGAN MENJELANG HUJUNG 2026
Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) terus memperkukuh kedudukannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) premium tempatan menerusi pelantikan tiga pengedar baharu, sekali gus memperluaskan rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.
Pelantikan itu membabitkan Quantum Motors Sdn. Bhd., yang akan mengendalikan pusat jualan di IOI City Mall, Seremban dan Kuala Lumpur Utara, selain Wheelcorp Premium Sdn. Bhd. di Setia Alam serta Ghee Hua Co. Sdn. Bhd. di Kuching, Sarawak.
Menurut Zeekr Malaysia, penambahan rangkaian ini bertujuan meningkatkan akses pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan jenama itu di Semenanjung serta Malaysia Timur, selain menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh.

Langkah berkenaan hadir ketika permintaan terhadap model EV premium Zeekr terus menunjukkan peningkatan.
Syarikat itu turut mengekalkan kedudukannya sebagai jenama EV premium nombor satu di Malaysia sepanjang 2026.
Kedudukan itu disokong oleh pengenalan Zeekr X 2026, selain prestasi jualan memberangsangkan model Zeekr 7X dan Zeekr 009, yang terus menarik perhatian pengguna tempatan.
Pada Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS 2026) baru-baru ini, Zeekr turut memperlihatkan hala tuju segmen ultra mewah menerusi kemunculan Zeekr 9X dan Zeekr 009 Grand, yang kini sudah dibuka untuk tempahan.

Dengan pelantikan baharu itu, Zeekr kini mempunyai 11 pusat jualan di Malaysia dan menyasarkan jumlah tersebut meningkat kepada 18 lokasi menjelang penghujung tahun ini.
Antara rakan pengedar sedia ada ialah:
- BH Premium Auto (Ipoh)
- Unihub Auto Services (Melaka)
- EVA Automobile (Ampang)
- Sentinel Automotive (Petaling Jaya)
- Preeminent Auto (KLCC, Puchong, Skudai dan Federal Highway)
- Sunway Group (Sunway City)
- Carro (Bangsar, Mutiara Damansara dan Juru Autocity)
Sebahagian daripada cawangan baharu akan beroperasi sebagai pusat 3S, merangkumi jualan, servis dan alat ganti bagi memudahkan pemilik mendapatkan sokongan selepas jualan.
Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu, berkata kerjasama dengan rangkaian pengedar memainkan peranan penting dalam memastikan pengalaman pemilikan Zeekr dapat dinikmati pelanggan di seluruh negara.
Beliau berkata, selain memperluaskan liputan pasaran, syarikat juga memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti perkhidmatan bermula daripada proses pembelian sehingga sokongan selepas jualan.
Zeekr Malaysia berkata, syarikat akan terus memperkukuh ekosistemnya seiring pengenalan model baharu pada masa hadapan, sekali gus memastikan rangkaian jualan dan servis mampu memenuhi pertumbuhan permintaan terhadap mobiliti elektrik premium di Malaysia.
- BACA: MCLAREN 788HS – PENUTUP ERA 720S, 750S DAN 765LT, 788 PS, HANYA 200 UNIT
- BACA: EV TERPAKAI AKAN ROSAK, TAPI BUKAN BATERI……
- BACA: VOLKSWAGEN TAYRON 2026 DILANCARKAN – HADIR DUA VARIAN, JANA 150PS, HARGA MULA RM190K
- BACA: GWM KEMAS KINI ORA BALLET CAT, KUASA DITINGKATKAN – MUNGKIN GUNA NAMA BAHARU ORA 6





