Buletin

ZEEKR MALAYSIA, JOMCHARGE JALIN KERJASAMA – TAWAR MANFAAT PENGECASAN LEBIH MENARIK

Zeekr Intelligent Technology Malaysia (Zeekr Malaysia) mengumumkan kerjasama baharu dengan pengendali rangkaian pengecasan kenderaan elektrik (EV), JomCharge, bagi menawarkan lebih banyak kemudahan serta penjimatan kepada pemilik kenderaan jenama itu di seluruh negara.

Melalui kerjasama tersebut, pemilik Zeekr akan menerima keahlian JomCharge Platinum secara percuma sehingga 31 Disember 2026.

Inisiatif itu membolehkan mereka menikmati diskaun sebanyak 25 peratus untuk sesi pengecasan di lebih 1,000 stesen pengecasan milik JomCharge di Malaysia.

Menurut Zeekr Malaysia, manfaat tersebut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan pengalaman pemilikan kenderaan elektrik, selari dengan pertumbuhan komuniti pemilik Zeekr yang kini melebihi 5,000 orang.

Kerjasama dengan JomCharge turut memperluaskan rangkaian keistimewaan eksklusif yang ditawarkan kepada pelanggan Zeekr, selain memberi akses lebih mudah kepada kemudahan pengecasan di lokasi strategik di seluruh negara.

Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, syarikat itu sentiasa mencari peluang untuk menambah nilai kepada pelanggan menerusi pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik.

“Selepas memperkenalkan kadar pengecasan khas untuk pemilik Zeekr di rangkaian DC Handal, kerjasama dengan JomCharge pula membolehkan pelanggan menikmati kadar istimewa di lebih 1,000 lokasi pengecasan. Ia sebahagian daripada komitmen kami untuk memastikan pengalaman pemilikan Zeekr lebih lancar, mudah dan bebas kebimbangan,” katanya.

Sebelum ini, Zeekr Malaysia turut memperkenalkan manfaat pengecasan eksklusif melalui kerjasama dengan DC Handal, sekali gus memperkukuh ekosistem pengecasan yang tersedia kepada pelanggan jenama tersebut.

Bagi mengaktifkan keahlian JomCharge Platinum percuma, pemilik Zeekr perlu melengkapkan borang pendaftaran yang disediakan oleh Zeekr Malaysia dan memastikan alamat e-mel yang digunakan adalah sama dengan akaun JomCharge mereka.

Setelah proses pengesahan pemilikan selesai, keahlian Platinum akan diaktifkan secara automatik oleh JomCharge.

Dengan pengaktifan keahlian itu, pemilik Zeekr boleh menikmati diskaun pengecasan serta pelbagai manfaat lain yang ditawarkan di rangkaian JomCharge di seluruh negara.

Google ads
Back to top button