Buletin

ZEEKR MALAYSIA CATAT 5,000 PENGHANTARAN, PERKENAL ZEEKR POWER

Zeekr Intelligent Technology Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting apabila berjaya menyerahkan sebanyak 5,000 kenderaan elektrik (EV) kepada pelanggan di Malaysia dalam tempoh kurang dua tahun sejak jenama itu diperkenalkan di pasaran tempatan.

Bersempena kejayaan itu, Zeekr Malaysia memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu yang memberi tumpuan kepada pengalaman pemilikan lebih menyeluruh, termasuk penambahbaikan perkhidmatan selepas jualan, manfaat eksklusif kepada pelanggan, akses pengecasan lebih luas dan perlindungan jangka panjang untuk pemilik.

Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu, berkata pencapaian 5,000 penyerahan menjadi bukti hubungan kukuh yang berjaya dibina bersama pelanggan sejak jenama itu memasuki pasaran Malaysia.

Menurutnya, syarikat akan terus melabur dalam pembangunan ekosistem pemilikan yang menawarkan lebih banyak nilai kepada pelanggan, bukan sekadar melalui produk yang dijual.

Salah satu inisiatif utama ialah pengenalan Program Waranti Lanjutan, yang menawarkan perlindungan tambahan melepasi tempoh waranti standard.

Program itu boleh dilanggan oleh pemilik baharu dalam tempoh tujuh hari selepas menerima kenderaan, manakala pemilik sedia ada turut diberi peluang mendapatkan perlindungan sama sehingga 30 September 2026.

Pelanggan boleh memilih antara dua pakej ditawarkan iaitu Silver Plan, yang memanjangkan waranti kenderaan dan komponen voltan tinggi sehingga lapan tahun atau 160,000 kilometer, serta Gold Plan yang meningkatkan had perbatuan kepada 180,000 kilometer.

Waranti berkenaan meliputi kos alat ganti yang layak dan upah pembaikan di semua pusat servis sah Zeekr menggunakan komponen tulen serta dikendalikan juruteknik bertauliah.

Selain itu, Zeekr Malaysia turut menawarkan pemeriksaan kesihatan EV secara percuma di semua pusat servis sah sehingga 30 September depan.

Pemeriksaan tersebut merangkumi sistem bateri utama, sistem rangkaian kuasa elektrik, sistem BCM, pemeriksaan bahagian bawah kenderaan serta bateri voltan rendah.

Pemilik digalakkan membuat temu janji lebih awal bagi mengurangkan tempoh menunggu.

Dalam usaha memperkukuh kemudahan pengecasan, Zeekr turut melancarkan Zeekr Power, iaitu rangkaian pengecas pantas miliknya sendiri yang dibangunkan menerusi kerjasama strategik dengan DC Handal.

Syarikat menyasarkan pembinaan 30 stesen pengecas Zeekr Power di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi meningkatkan kemudahan pengecasan di laluan utama dan destinasi tumpuan pengguna EV.

Pengecas berkenaan mampu membekalkan kuasa sehingga 400kW, dengan beberapa lokasi berpotensi dinaik taraf kepada 640kW pada masa depan.

Antara lokasi yang kini beroperasi ialah Amanjaya Mall di Sungai Petani, Sunway Carnival Mall di Pulau Pinang, MH Hotel di Ipoh serta Sunway Pyramid di Petaling Jaya.

Dua lagi lokasi di Plaza Tol PLUS Sungkai, Perak dan Plaza Tol PLUS Bukit Gambir, Johor sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini.

Sebagai promosi permulaan, pemilik Zeekr boleh menikmati kadar pengecasan DC istimewa serendah RM1.20 bagi setiap kWh di stesen pengecas Zeekr Power yang mengambil bahagian.

Zeekr Malaysia berkata segala inisiatif yang diperkenalkan ini bertujuan membina ekosistem pemilikan EV premium yang lebih lengkap, sekali gus memberikan keyakinan, kemudahan dan ketenangan fikiran kepada pelanggan sepanjang tempoh pemilikan kenderaan mereka.

Google ads
Back to top button