
ZEEKR PERLUAS KADAR PENGECASAN DC EKSKLUSIF KEPADA PEMILIK DI SELURUH NEGARA
Zeekr Malaysia mengumumkan peluasan kadar pengecasan pantas DC eksklusif untuk pemilik kenderaannya di semua stesen pengecasan DC Handal di seluruh negara, sekali gus memperkukuh ekosistem pemilikan yang ditawarkan kepada pelanggan jenama itu.
Melalui inisiatif tersebut, pemilik Zeekr kini boleh menikmati kadar pengecasan khas RM1.20 bagi setiap kWh di semua lokasi DC Handal, berbanding sebelum ini yang hanya tersedia di beberapa stesen terpilih di bawah rangkaian Zeekr Power x DC Handal.
Menurut Zeekr Malaysia, langkah itu sejajar dengan usaha syarikat untuk meningkatkan kemudahan penggunaan kenderaan elektrik (EV), selain menawarkan nilai tambah kepada komuniti pemiliknya yang kini melebihi 5,000 pengguna di Malaysia.
Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, syarikat mahu memastikan setiap pertambahan pemilik turut disertai dengan manfaat yang lebih meluas dan praktikal.

“Dengan peluasan kadar khas RM1.20/kWh ini ke semua stesen DC Handal, kami mahu menjadikan pengecasan pantas lebih mudah diakses serta lebih berbaloi untuk setiap pemilik Zeekr.
“Ini merupakan sebahagian daripada komitmen kami untuk membangunkan ekosistem pemilikan yang lebih kukuh di Malaysia. Kami juga akan terus bekerjasama dengan pengendali rangkaian pengecasan bagi memperluaskan akses kepada kemudahan pengecasan ultra-pantas,” katanya.
Kerjasama dengan DC Handal turut menjadi komponen penting dalam pembangunan rangkaian Zeekr Power yang dirancang syarikat.
Dalam tempoh tiga tahun akan datang, Zeekr menyasarkan pembukaan sehingga 30 stesen pengecasan Zeekr Power di seluruh negara.
Peluasan kemudahan pengecasan ini dijangka memberikan lebih fleksibiliti kepada pengguna EV Zeekr, selain membantu mengurangkan kos operasi harian dan meningkatkan pengalaman pemilikan secara keseluruhan.
Bagi menikmati kadar pengecasan istimewa tersebut, pemilik Zeekr perlu memuat turun aplikasi ChargEV, mendaftarkan akaun pengguna serta melengkapkan proses pendaftaran yang ditetapkan oleh syarikat.
Alamat e-mel yang digunakan dalam borang pendaftaran hendaklah sama dengan e-mel yang didaftarkan pada akaun ChargEV bagi membolehkan pengaktifan manfaat tersebut.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai model-model terkini serta tawaran pemilikan Zeekr boleh mengunjungi bilik pameran rasmi Zeekr di seluruh negara.







