
ZEEKR MALAYSIA PERKENAL PLATFORM KOMUNITI ‘ONE ZEEKR’
Zeekr Malaysia terus memperkukuh hubungan dengan para pelanggannya menerusi pelancaran One Zeekr, sebuah platform komuniti yang diwujudkan bagi menghimpunkan pemilik kenderaan jenama itu melalui pelbagai aktiviti gaya hidup, pengalaman eksklusif dan inisiatif kemasyarakatan.
Inisiatif baharu itu hadir selepas jenama kenderaan elektrik (EV) premium tersebut meraikan bulan penghargaan pelanggan sepanjang Ogos lalu dengan pelbagai program yang memberi nilai tambah kepada pemilik.
Antaranya termasuk kemudahan pengecasan menerusi Zeekr Power, keistimewaan akses pengecasan di seluruh negara, pemeriksaan kesihatan EV percuma, program lanjutan waranti serta penganjuran Kejohanan Golf Zeekr Cup Elite Golf Championship Malaysia.
Menurut Zeekr Malaysia, One Zeekr diwujudkan bagi menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih menyeluruh, bukan sekadar tertumpu kepada penggunaan kenderaan tetapi turut membuka ruang kepada pemilik untuk membina jaringan, berkongsi minat dan menyertai aktiviti komuniti.

Program itu mula diperkenalkan menerusi Zeekr X Family Lifestyle Event di Awana Genting yang menghimpunkan pemilik baharu bagi meraikan permulaan perjalanan mereka bersama jenama tersebut.
Terbaharu, One Zeekr meneruskan momentum menerusi satu pertemuan komuniti di Takun Retreat Club, Rawang pada 19 September lalu.
Acara itu menyatukan pemilik baharu dan sedia ada dalam suasana santai yang membolehkan mereka menyertai pelbagai aktiviti, berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama ahli komuniti Zeekr.
Selain aktiviti gaya hidup, program berkenaan turut diserikan dengan pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), sekali gus memperluaskan semangat kebersamaan komuniti Zeekr kepada usaha membantu golongan yang memerlukan.

Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, peningkatan jumlah pelanggan Zeekr di Malaysia membuka peluang untuk syarikat menawarkan lebih banyak pengalaman yang bermakna kepada pemilik.
“Melalui One Zeekr, kami mahu mewujudkan lebih banyak peluang untuk pemilik menikmati pengalaman baharu, berkongsi minat yang sama dan menyumbang kepada masyarakat. Ia bukan sekadar platform untuk berkumpul, tetapi ruang untuk meneroka pelbagai kemungkinan bersama,” katanya.
Beliau menambah, elemen kebajikan dan khidmat masyarakat akan terus menjadi sebahagian penting dalam pembangunan komuniti One Zeekr pada masa hadapan.
Zeekr Malaysia berkata, platform itu akan terus diperluaskan dengan pelbagai program merangkumi aktiviti gaya hidup, pengalaman eksklusif dan projek CSR, sekali gus menjadikan perjalanan pemilikan kenderaan lebih bermakna dan berterusan di luar pengalaman pemanduan harian.







