
ZEEKR LOUNGE RASMI DIBUKA DI X PARK SUNWAY SERENE
Zeekr Sunway terus memperkukuh kehadirannya dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan menerusi pembukaan Zeekr Lounge X Park Sunway Serene, sebuah ruang khas yang menggabungkan pengalaman pemilikan EV dengan kemudahan rekreasi dan gaya hidup.
Berukuran 1,800 kaki persegi, lounge baharu itu terletak di X Park Sunway Serene dan melengkapkan kemudahan pengecasan Zeekr Power yang sudah beroperasi di lokasi berkenaan.
Kemudahan tersebut dilengkapi sembilan ruang pengecasan pantas arus terus (DC) dengan kapasiti sehingga 480kW, yang disifatkan sebagai antara kemudahan pengecasan terpantas di Malaysia.

Pemilik Zeekr turut menikmati kadar pengecasan istimewa sebanyak RM1.20 bagi setiap kWj menerusi kerjasama dengan rakan penyedia pengecasan.
Pembukaan lounge itu turut menawarkan pengalaman berbeza apabila pemilik kenderaan boleh mengakses pelbagai kemudahan rekreasi di X Park, termasuk gelanggang pickleball, litar go-kart dan kawasan makanan.
Ruang istirahat berkenaan turut menyediakan akses Wi-Fi percuma untuk keselesaan pelanggan sementara menunggu kenderaan selesai dicas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Trading and Manufacturing, Yeoh Yuen Chee, pembukaan lokasi baharu itu menjadi sebahagian daripada usaha syarikat memperkukuh kedudukannya dalam segmen kenderaan elektrik premium.
Beliau berkata, gabungan kemudahan pengecasan berkelajuan tinggi, pengalaman jenama Zeekr dan tarikan gaya hidup di X Park mampu menawarkan destinasi yang lebih praktikal kepada pelanggan.
Sementara itu, Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata, syarikat akan terus memperluas akses kepada kemudahan pengecasan DC eksklusif, selain menawarkan nilai tambah kepada pemilik kenderaan menerusi kadar istimewa RM1.20/kWj.

Sejak diperkenalkan di Malaysia, Sunway Marketing telah menjual lebih 2,900 unit kenderaan Zeekr. Syarikat itu baru-baru ini turut meraikan ulang tahun kedua operasinya.
Zeekr Lounge X Park Sunway Serene terletak di Lot 1, Jalan SS 8/6, Sungai Way Free Trade Industrial Zone, Petaling Jaya, Selangor.
Lounge berkenaan dibuka kepada pemilik Zeekr selama 24 jam setiap hari, termasuk hujung minggu. Akses boleh diperoleh dengan mengimbas kod QR menerusi aplikasi Zeekr.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem pengecasan EV tempatan, Zeekr Malaysia turut bekerjasama dengan penyedia kemudahan pengecasan JomCharge dan DC Handal.









