Buletin

PROTON SUMBANG 10 UNIT KENDERAAN UNTUK ACARA SUKAN SUKIPT 2022

PROTON baru-baru ini menyampaikan sepuluh unit kenderaan yang terdiri daripada pelbagai model kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menyokong Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022. Ini merupakan kali kedua PROTON menyokong SUKIPT setelah terlibat sebagai penaja pada tahun 2012.

Acara sukan dwi tahunan anjuran KPT itu akan diadakan dari 12 hingga 21 Ogos 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak. Terdapat dua puluh satu acara sukan dengan anggaran penyertaan kira-kira 6,000 atlet dan pegawai dari institusi pengajian tinggi dari seluruh Malaysia.

Sumbangan PROTON yang terdiri daripada lapan unit Proton Perdana, satu unit Proton X70 dan satu unit Proton Saga itu diterima oleh Timbalan Ketua Setiausaha Dasar, Datuk Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Timbalan Setiausaha Sukan dari Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Pekan Ramli.

Selain peranannya dalam temasya ini, PROTON juga telah menyumbang kepada pembangunan sukan di sekolah-sekolah di Tanjung Malim. Syarikat menyampaikan sumbangan wang tunai dan peralatan sukan kepada SMK dan SK Proton City pada 27 Jun.

Manakala pada 28 Julai, sumbangan tunai disampaikan kepada Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) di Kuala Nerus, Terengganu bagi menyokong program kecemerlangan akademik sekolah.

Google ads
Back to top button