Buletin

ESPORTS GR VELOCITY MUSIM KE-5, MUHAMMAD IQBAL MENANG RM20K

Berlumba di hadapan penonton secara langsung dan diceriakan oleh peminat perlumbaan dalam talian, Muhammad Iqbal Suji, berusia 24 tahun dari Selangor akhirnya berjaya merangkul hadiah utama berupa wang tunai RM20,000 untuk menewaskan sembilan lagi finalis dalam siri tiga perlawanan akhir yang mempamerkan tahap profesionalisme dan semangat kesukanan yang tinggi.

Ia adalah kemenangan yang ditunggu-tunggu oleh Muhammad Iqbal Suji setelah bertahun-tahun mencuba, dan penantian itu berbaloi kerana dinobat sebagai juara kejohanan Esports Toyota GR Velocity Musim ke 5.

“Penganjuran Toyota GR Velocity Esports Championship memberi mereka platform atas talian yang ideal untuk terus mengembangkan dan menunjukkan potensi penuh mereka, malah ada yang beralih ke perlumbaan sebenar,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K, sambil menambah bahawa gabungan perlumbaan fizikal dan dalam talian Toyota sejak 2018 telah memberikan syarikat itu peluang untuk menyumbang secara besar-besaran kepada mempromosikan sukan permotoran di Malaysia.

Muhammad Iqbal kini perlu mengetepikan saingan daripada rakan yang lain untuk mengetuai pasukan Malaysia yang tediri  daripada Muhammad Uzair dan Taj Izrin Aiman ​​Taj Madira yang mendapat tempat kedua dan ketiga dalam kejuaraan masing-masing untuk mara ke pusingan akhir serantau Toyota GAZOO Racing GT Cup anjuran Toyota Motor Asia Pasifik (TMAP) yang akan diadakan pada 2 Oktober depan.

Ini membuka peluang kepada pasukan Malaysia untuk mewakili Asia ke pusingan akhir Global yang akan diadakan di Monaco pada 25 November 2022.

Perlawanan akhir pada tiga perlumbaan tersebut dimulakan dengan pecutan 15 minit di Perlumbaan 1 di litar 4.309km Brazil Autodromo Interlagos yang menyaksikan juara bertahan dua kali Taj Izrin Aiman ​​menang dan mendahului dalam kedudukan mata keseluruhan.

Di tempat kedua ialah Muhammad Iqbal sementara Muhammad Uzair menamatkan perlumbaan ditempat ketiga.

Dalam Perlumbaan 2 yang turut diadakan di Interlagos, sesi selama 30 minit menyaksikan Muhammad Uzair yang berusia 29 tahun kekal tenang sehingga detik kedua terakhir perlumbaan untuk mendahului perlumbaan mengatasi Dhanesh Wigneswaran.

Perlumbaan itu bagaimanapun, terbukti serba tidak menjadi buat Taj Izrin Aiman ​​yang sempat berada di kedudukan keempat sebelum menduduki tempat ketujuh.

Perlumbaan 3 terbukti menjadi pertarungan paling sukar selama 40 minit melibatkan jentera berkuasa 1,000bhp Toyota TS050 Hybrid di litar Circuit de Spa-Francorchamps di Belgium. Akhirnya, Muhammad Iqbal melakar kemenangan dengan catatan masa 8  saat di hadapan pesaing terdekatnya, Taj Izrin Aimar dan Muhammad Uzair.

Acara itu turut menampilkan empat perlumbaan pertunjukan yang melibatkan pemandu dan selebriti bersaing dalam siri perlumbaan Toyota GAZOO Racing Vios Challenge, rakan media dan pemandu muda dalam kelas rookie Vios Challenge.

Perlumbaan selebriti dimenangi oleh pelakon Zizan Razak, diikuti penyampai Nabil Ahmad dan seorang lagi pelakon Shukri Yahaya, yang secara kebetulan juga menjadi tiga pencabar terbaik dalam Kelas Promosi siri perlumbaan Toyota GAZOO Racing Vios Challenge.

Cabaran Vios Rookies pula menyaksikan empat pemandu muda iaitu Adele Lew, Nabil Azlan, Sharique Zulqarnain dan Muizz Musyaffa menyahut cabaran.

Google ads
Back to top button