Pandu Uji

NISSAN NAVARA BLACK EDITION – PIKAP DENGAN KUALITI PEMANDUAN SUV

1. Sejarah – Nissan sebenarnya sudah lama menghasilkan kenderaan pikap bagi pasaran Jepun dengan nama Datsun 120 dan juga Datsun 220 sekitar 1955.

Jepun yang baru pulih dari zaman perang berkembang pesat menjadi kuasa ekonomi dunia memerlukan kenderaan untuk menyokong pergerakan logistik.

Hasilnya kenderaan pikap menjadi popular kerana kemampuan pikap untuk mengangkut barang dengan banyak melalui jalan jalan kecil sekitar bandar. Malah pemandu juga tidak memerlukan lesen khas untuk memandu sebuah pikap.

2. Spesifikasi

Varian: Nissan Navara VL Plus

Enjin: 2500cc Turbodiesel dengan Geometri Boleh Ubah

Kuasa: 187kuasa kuda

Tork: 450Nm

Suspensi: Double Wishbone (depan) dan Multilink (Belakang)

Panjang: 5255mm

Lebar: 1850mm

Tinggi: 1840mm

Jarak antara roda: 3150mm

Dimensi ruang kargo (L x W X H): 1465mm x 1560mm x 474mm

Berat kapasiti: 1000kg

Berat tunda: 3500kg

3. Cesi – Sama seperti pikap lain, Navara menggunakan cesi “ladder frame” untuk tujuan mengangkat beban dan juga kelasakan pemanduan di atas jalan yang tidak rata.

Namun yang membezakan Nissan Navara dengan pesaingnya ialah Navara menggunakan “high tensile strength steel” yang berbentuk kotak empat segi dalam pembinaan kerangka utama.

Hasilnya cesi Navara menjadi lebih rigid dan juga nilai “torsional stiffness” lebih tinggi berbanding dengan pesaing lain.

4. Enjin – Enjin Navara VL Plus ini dilengkapkan dengan enjin diesel dengan kod YD25DDTI lengkap dengan Turbo Geometri Berubah. Enjin ini merupakan enjin yang telah dipertingkatkan mampu menghasilkan kuasa 187 kuasa kuda pada 3600 RPM dan tork enjin 450Nm pada 2000 RPM

5. Kotak gear – Navara hadir dengan kotak gear 7 kelajuan dengan pilihan mode manual yang boleh dipilih oleh pemandu dan dikawal dengan menggunakan tombol gear.

Berbanding dengan gear 6 kelajuan yang lama, gear 7 kelajuan yang baru ini menawarkan pecutan yang lebih baik, penggunaan bahan api yang lebih rendah, dan bunyi yang lebih rendah.

Kotak gear ini dipadankan dengan mekanisme “torque converter” menghasilkan pemanduan lancar dalam kesesakan jalan. Bagi menambah kecekapan gear, mekanisme “lock up” telah diperkenalkan dengan nisbah yang lebih besar

6. Suspensi – Sama seperti pikap lain, Navara menggunakan suspensi bebas “Double Wishbone” pada roda hadapan digandingkan dengan bar penstabil.

Suspensi ini ada satu lagi lengan kawalan pada bahagian atas berbanding dengan topang McPherson. Pada bahagian belakang, Navara menggunakan spring lingkaran (coil spring) berbanding dengan spring dedaun.

Suspensi belakang menggunakan talaan “MultiLink” dan bar anti oleng. Jadi Navara memiliki “feel” pemanduan lebih kepada SUV berbanding dengan pikap yang keras melantun lantun.

Walaupun menggunakan spring lingkaran, Navara masih mampu mengangkat beban seberat 1 tan dan menunda beban seberat 3.5 tan

7. Ciri-ciri keselamatan – Navara VL Plus datang dengan 7 beg udara keselamatan (2 beg udara depan, 2 beg udara langsir, 2 beg udara sisi penumpang depan dan 1 beg udara lutut). Bagi ciri keselamatan aktif, Navara juga lengkap dengan:

  • Vehicle Dynamic Control – mengawal kenderaan dari mengalami understeer atau oversteer
  • Traction Control System – mengurangkan output enjin apabila sistem mengesan tayar tergelincir dan kurang cengkaman
  • AntiLock Braking Sistem – mengelakkan tayar terkunci dan membenarkan steering digunakan sewaktu brek kecemasan
  • 4 Wheel Active Brake Limited Slip- membantu meningkatkan kestabilan dan cengkaman dengan membenarkan kawalan yang lebih baik pada steering

Navara juga datang dengan beberapa ciri tambahan yang menjadikan ia sebuah pikap belasahan sejati seperti:

  • Fungsi pacuan 2 roda, pacuan 4 roda High, dan pacuan 4 roda Low boleh dibuat dengan menggunakan suis rotary walaupun kereta sedang bergerak. Tiada lagi tombol gear “double” wujud di sebelah tombol gear automatik
  • Fungsi Hill Decent Control – sistem elektronik akan mengawal brek untuk anda, jadi anda hanya fokus pada kawalan steering ketika menuruni cerun “off road”
  • Fungsi Hill Start Assist – Sistem elektronik akan memberikan bantuan brek beberapa saat selepas brek tangan dilepaskan agar kereta tidak menggelongsor ke belakang ketika memulakan perjalanan

9. Reka bentuk luar – Navara VL Plus yang diberikan pada pihak Mekanika hadir dengan warna Savanna Orange yang cukup menyerlah, lampu utama LED Bersama projektor, dan lampu LED Day Time Running Light terbina dalam.

Lampu kabus pula dipasang pada bahagian bampar dan terdapat juga satu unit lampu kabus belakang pada bahagian kanan. Hanya varian VL sahaja yang mendapat peranti sokongan bumbung, jika anda bercadang untuk memasang kotak tambahan di atas bumbung Navara

9. AntiGravity Seat – Sama seperti Serena, Navara menggunakan teknologi yang sama. Kusyen pemandu dan penumpang depan yang digunakan sangat lembut tapi memberikan sokongan pada postur badan.

Namun untuk kusyen belakang walaupun perehat kepala disediakan, ia sedikit tegak dan sempit untuk perjalanan yang selesa. Walaupun begitu ruang kaki dan lutut yang disediakan adalah luas dan penumpang tidak akan rasa lenguh untuk perjalanan jauh

10. Panel papan pemuka – satu lagi ciri Navara yang menarik ialah rekabentuk papan pemuka yang mirip dengan Xtrail bermula dari roda stering, panel suis penyaman udara, unit multimedia dan juga corong penyaman udara.

Sudah pasti menjadi sebahagian produk Nissan, papan pemuka diatur dengan ringkas dan paparan meter senang dibaca. Meter info pemanduan LCD diapit dengan meter bacaan RPM pada sebelah kiri dan meter kelajuan pada sebelah kanan.

Fungsi multimedia boleh diakses dengan menggunakan butang pada steering sebelah kiri manakal butang “auto cruise” berada di sebelah kanan. Walau bagaimanapun, plastik yang digunakan adalah dari jenis lasak, sesuai dengan sebuah pikap.

11. i-AVM – Navara VL Plus ini juga datang dengan fungsi intelligent – Around View Monitor yang membenarkan pemandu melihat di sekeliling kereta.

Ia amat berguna ketika ingin memarkir kereta di tempat yang sempit atau melepasi jalan yang sempit. Secara bandingan, mata manusia hanya mampu mendapat sudut 180 darjah pemandangan, kucing memiliki sudut 200 darjah, burung merpati 340 darjah dan sistem i-AVM membantu pemandu mendapat pandangan 360 darjah.

Ia boleh diaktifkan dengan menekan butang “Display” dan input video akan dipaparkan pada unit Multimedia.

12. Ciri Premium – Unit VL juga datang dengan rim berjejari 18 inci, kerusi balutan kulit, kerusi dengan 10 pelarasan dengan bantuan kuasa, cermin pandang belakang AutoDimm dan kompas, Push Start Button, skrin paparan Advanced Driver Assist Display dan juga fungsi AutoCruise.

Sebagai bonus, terdapat juga corong penyaman udara untuk penumpang belakang

13. Aksesori Black Series – Nissan tahu pembeli pikap memang suka berhias seperti artis yang baru menjanda, lantas Nissan memperkenalkan aksesori Black Series yang akan menambahkan sifat “macho” yang ada pada Navara.

Semua aksesori ini didatangkan dengan warna hitam, jadi ia tidak sesuai untuk taukeh krim kecantikan yang sukakan warna merah jambu. Aksesori ini terdiri daripada “Sport Bar”, Pelapik Cermin Sisi, Pelapik Sisi Fender, Pelapik Lampu Kabus Depan, Pelapik Bampar Depan, Gril Depan dan juga Pelapik Lampu Depan. Kalau Navara ini berwarna putih, kemasan ini akan Nampak sangat menyerlah.

14. Rebadge Model – Model Navara ini juga mempunyai kembarnya sendiri yang telah disalin dan dijual di pasaran Kesatuan Eropah. Pihak Mercedez-Benz menyedari terdapat kekosongan di dalam pasaran pikap premium mula membangunkan satu generasi baru pikap trak dengan konsep yang lebih premium.

Pikap ini dikenali dengan nama X-Class menggunakan cesi Navara sebagai asas platform dengan 3 pilihan enjin dari Mercedes iaitu 2000cc petrol dengan turbo dan bagi enjin diesel ia datang dengan 2 pilihan enjin iaitu 2300cc dan 3000cc dengan turbo. Pihak Renault juga mempunyai salinan fotokopi Navara yang dikenali dengan nama Renault Alaskan

15. Anugerah yang diterima – Di Filipina Navara NP 300 menerima anugerah pikap terbaik pada tahun 2015 dan menerima anugerah International Pick-Up Awards 2016 di Peranchis pada 2016. Pada tahun 2018 Navara sekali lagi dianugerahkan sebagai Best Pick-Up Parker New Car Awards untuk pasaran United Kingdom

16. Pengalaman Pemanduan Navara

Sebaik sahaja memulakan pemanduan, perkara pertama yang dirasakan saya ialah tayar yang keras dan melantun lantun. Jadi perkara pertama yang dibuat ialah mengisi semula tayar Navara mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Barulah Navara ini sedap dipandu dan tidak melompat seperti kuda rodeo. Kerusi yang disediakan sangat selesa dan empuk tetapi tidaklah rendah seperti kereta.

Ia memberikan keselesaan pada ruang tulang belikat dan bahu. Paparan panel instrument pula persis Nissan Xtrail membuatkan kita bagaikan memandu sebuah SUV berbanding sebuah pikap yang kasar.

Pengalaman bermusafir sejauh 700km melalui jalan kampung berlubang lubang dan tidak rata dengan pikap bulan lepas amat menyayat hati. Disebabkan jangkitan cirit birit dan dilambung dengan pikap yang dipasang dengan spring dedaun menyebabkan saya demam dan sakit pinggang. Namun situasi ini bagaikan terbalik apabila memandu Navara.

Untungnya Navara dipasang dengan sistem suspensi Multilink dan digandingkan dengan spring lingkaran, jadi pergerakan Navara adalah lebih stabil dan tidak terhentak hentak seperti sebuah lori 1 tan.

Pindahan berat kereta antara depan ke belakang dan sebaliknya berlaku dengan lembut dan lancar menjadikan badan tidak penat dan terkejut.

Sekiranya anda bercadang untuk melanggar “speed bump” yang sedikit besar daripada biasa, berat Navara pada bahagian depan akan membuatkan ia mengalami “bottom out” atau mendap.

Mungkin Navara perlukan penyerap hentak yang sedikit keras pada bahagian depan untuk menampung berat enjin. Perjalanan di laluan biasa jalan kampung adalah lebih baik berbanding pikap milik saya.

Sebarang kecacatan jalan dan permukaan yang tidak rata akan diserap dengan baik oleh Navara.

Namun jika anda memandu selaju 140km/h di jalan berselekoh, ia tetap akan terasa sedikit gayat.

Selain dari tinggi berbanding kereta sedan, saya risau tindakan mengambil selekoh pada halaju tinggi akan menyebabkan cengkaman pada tayar depan melepasi had keselamatan.

Namun jika ia dipandu dengan biasa pada had laju kebangsaan Navara beraksi dengan baik sekali seperti sebuah SUV.

Sama seperti Serena, steering Navara sedikit lambat memberi tindak balas dan input steering mestilah diberikan berkadar langsung dengan pertambahan halaju.

Jika anda malas mengawal input pedal minyak, aktifkan saja fungsi “AutoCruise” dan Navara ini akan meluncur tenang membiarkan anda berehat sedikit.

Rekabentuk papan pemuka, fungsi auto cruise, dinamik pemanduan Navara yang sedikit lembut dan brek yang kemas menjadi pemanduan Navara ini ibarat sebuah kereta, bukan pikap.

Kotak gear memainkan peranan yang baik semasa bergerak perlahan dari jalan bandar menuju ke lebuh raya. Ia menukar gear dengan lancar dan tanpa ada rasa sentapan yang menggegarkan kabin.

Sewaktu memandu laju, saya cuba menukar gear dengan mode manual yang disediakan. Walaupun input telah diberi, penukaran gear adalah lambat mungkin kerana halaju enjin dan halaju kereta tidak sesuai menghalang ECU menukar gear.

Namun Sebaik sahaja gear diturunkan dan pedal ditekan Navara meluncur laju menggunakan 450Nm tork dengan cekap.

Pemanduan di dalam hujan juga jauh lebih baik berbanding dengan pikap milik saya. Walaupun dengan tayar 18 inci, ia gagah meredah hujan tanpa rasa gusar pada halaju 80-100km/h.

Fungsi elektronik Vehicle Dynamic Control, Traction Control dan 4 Wheel Active Brake Limited Slip membantu menstabilkan Navara. Jika hujan makin lebat, pandu sedikit perlahan dan gunakan fungsi 4H yang disediakan.

Tapi awas, kadang kala lopak air yang dalam akan tersembur sehingga ke cermin depan jika memandu laju di atas air.

Fungsi pacuan empat roda 4H ini juga telah dicuba sewaktu memandu di atas permukaan jalan yang tidak rata dan juga rumput yang masih basah dengan air embun pagi.

Ia senang digunakan dengan suis dial dan juga memberikan cengkaman yang lebih baik. Tambahan pula jarak kelegaan yang tinggi membantu Navara meredah permukaan jalan yang tidak rata.

Laluan menuju ke Kampung Kuala Mu iaitu di perkampungan orang asli terdiri daripada jalan bertar dan diselang seli dengan pendakian bukit yang curam dan juga permukaan jalan yang rosak diredah dengan selamba oleh Navara.

Ia tetap memberikan keselesaan pada penumpang dan enjin turbodiesel ini tidak perlu diperah bagi menolak berat Navara 1834kg ini ke depan.

Semasa berselisih dengan kereta sedan dengan enjin petrol, ia bagaikan mendengar Pontianak meraung tercekik tulang ikan.

Bagi ujian penggunaan bahan api, secara purata penggunaan diesel Nissan Navara ialah 8.96km per liter diesel.

Ia merupakan bacaan purata bagi perjalanan di dalam bandar, lebuhraya dan juga sedikit laluan “off road”.

Bagi laluan lebuh raya, saya memang tiada niat untuk membawa Navara secara berjimat cermat kerana kesuntukan masa dan purata halaju lebuh raya ialah 120km/h-140km/h

17. Ujian Bunyi

Halaju (km/j)Kekuatan Bunyi (dB)
8054.7
9055.8
10057.7
11060.6
12062.4

18. Jom Pandu Uji Hari ini

Nissan Navara VL Plus ini merupakan sebuah pikap dengan keselesaan sebuah kereta dan pemanduan sebuah SUV dan menjadi pilihan buat pemandu yang mahukan sebuah kenderaan yang lebih lasak dari SUV.

Ia menawarkan cesi yang kuat dan tegap, sesuai di bawa ke hutan mencari tempat memancing, berkelah ataupun apa saja aktiviti lasak namun masih lagi selesa untuk ahli kelurga yang lain.

Jika anda ragu ragu tentang kelasakan Navara, terdapat beberapa pasukan yang menyertai Perlumbaan Rali Dakar menggunakan cesi Navara NP 300 sebagai kenderaan perlumbaan. Pandu uji Navara hari ini dan anda akan bersetuju dengan apa yang saya katakan…

Google ads
Back to top button