
200 UNIT SAHAJA, UNTUNG LA SAPA DAPAT GR YARIS SEBASTIEN OGIER
Toyota Gazoo Racing sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap dunia sukan permotoran dengan memperkenalkan satu lagi varian iaitu Toyota GR Yaris Sébastien Ogier 9x World Champion Edition, sebuah edisi khas yang dibangunkan untuk meraikan pencapaian luar biasa Sébastien Ogier sebagai juara dunia FIA World Rally Championship (WRC) sebanyak sembilan kali.
Kejayaan ini bukan sahaja menyamai rekod tertinggi dalam sejarah WRC, malah dicapai dalam musim yang sangat sengit sehingga ke perlumbaan terakhir, menjadikan edisi ini lebih bermakna sebagai simbol ketahanan, ketepatan dan mentaliti menang seorang legenda rally dunia yang mencabar.
Musim WRC 2025 menyaksikan Ogier beraksi cemerlang bersama pasukan TOYOTA GAZOO Racing World Rally Team, dengan enam kemenangan dan sepuluh penamat podium daripada sebelas pusingan perlumbaan. Gelaran kejuaraan hanya ditentukan di peringkat akhir musim, mencerminkan tekanan dan cabaran sebenar yang dihadapi pemandu profesional di peringkat tertinggi.

Berdasarkan pengalaman dan maklum balas langsung Ogier sendiri, Toyota membangunkan edisi khas GR Yaris ini agar lebih hampir kepada falsafah sebuah jentera rally sebenar yang boleh dipandu di jalan awam secara sah.
Perubahan paling signifikan pada GR Yaris Sébastien Ogier 9x World Champion Edition terletak pada sistem pacuan semua roda GR-FOUR, yang menerima talaan eksklusif dengan pengenalan dua mod baharu.
Mod “SEB.” diperkenalkan untuk menggantikan Track Mode, dengan agihan tork 40:60 antara roda hadapan dan belakang. Tetapan ini memberikan keseimbangan antara ketepatan stereng dan rasa pacuan roda belakang, menjadikan kereta lebih intuitif serta mudah dikawal ketika dipandu secara agresif di permukaan berturap.

Sementara itu, mod “MORIZO” menggantikan Gravel Mode dan direka untuk mengekalkan cengkaman maksimum semasa pecutan, membolehkan semua roda bekerja serentak bagi memastikan kestabilan dan keyakinan pemandu, terutama dalam situasi permukaan mencabar.
Dari segi reka bentuk luaran, edisi istimewa ini tampil dengan identiti yang jelas berbeza daripada GR Yaris standard. Ia diperkenalkan dalam warna eksklusif Black Gravite, warna yang melambangkan pendekatan serius Toyota terhadap aktiviti motorsport global.
Rim hitam kemasan matte digandingkan dengan kaliper brek berwarna biru, warna yang sinonim dengan Sébastien Ogier. Di bahagian hadapan, gril dihiasi jalur tricolour yang diinspirasikan daripada bendera Perancis, manakala pelekat khas turut ditempatkan pada pintu dan fender belakang.

Pelekat khas dengan tulisan “Sébastien Ogier 9x World Champion Edition” serta tandatangan “MORIZO” pada cermin hadapan menegaskan status eksklusif model ini.
Masuk ke bahagian kabin, pendekatan berorientasikan pemandu menjadi fokus utama. Stereng khas dengan saiz sedikit lebih kecil digunakan bagi memberikan kawalan lebih tepat, lengkap dengan jahitan tricolour biru, putih dan merah.
Brek tangan jenis menegak ala kereta rally dibalut kulit dengan jahitan kelabu eksklusif, menambah elemen perlumbaan yang autentik. Paparan digital TFT turut menerima grafik khas yang memaparkan mod “SEB.” dan “MORIZO”, manakala setiap unit dilengkapi dengan plat nombor siri edisi terhad, menjadikan setiap kereta unik dan bernilai koleksi.

Dari segi pengeluaran, Toyota mengehadkan model ini kepada hanya 200 unit di seluruh dunia. Sebanyak 100 unit diperuntukkan khusus untuk pasaran Jepun melalui sistem undian pembelian menggunakan aplikasi rasmi GR, manakala baki 100 unit akan diedarkan ke pasaran Eropah terpilih. Pendekatan ini bukan sahaja mengekalkan eksklusiviti model, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara GR Yaris paling rare pernah dihasilkan.
Secara keseluruhan, Toyota GR Yaris Sébastien Ogier 9x World Champion Edition bukan sekadar sebuah hot hatch berprestasi tinggi, tetapi sebuah manifestasi falsafah Toyota Gazoo Racing yang membina kereta yang lahir daripada perlumbaan dan dipertingkatkan melalui pengalaman sebenar pemandu profesional.
Dengan talaan 4WD eksklusif, reka bentuk unik, pengeluaran terhad dan hubungan langsung dengan legenda WRC, edisi ini berada pada tahap yang berbeza, sama ada sebagai jentera pemanduan tulen atau aset koleksi jangka panjang. Jika GR Yaris ini menjejakkan kaki ke pasaran tempatan, ia pasti menjadi rebutan peminat rally sejati.



