DSG DIGUGURKAN UNTUK VW GOLF MALAYSIA, AUTO 8 KELAJUAN LAGI BAGUS?
Volkswagen Golf generasi ke 8 sudahpun selamat dilancarkan minggu lepas dengan varian Mk8 1.4 TSi R Line dijual pada harga permulaan yang cukup murah iaitu pada RM 155,000. Namun berbeza dengan Volkswagen Golf generasi sebelumnya yang datang dengan transmisi DSG, varian TSI R-Line hanya ditawarkan dengan transmisi 8 kelajuan automatik. Nampak macam agak janggal bagi sebuah Volkswagen dengan transmisi auto
Tapi bila kita semak, Australia juga mendapat kombo yang sama iaitu enjin 1.4 turbo yang menghasilkan sekitar 148 kuasa kuda dan 250Nm tork dengan transmisi 8 kelajuan automatik disebabkan Australia masih menggunakan peraturan pencemaran Euro 5. Bagi negara Eropah, kebanyakan negara sudah mula menguatkuasakan peraturan pelepasan asap Euro 6D- Temporary RDE
RDE membawa maksud Real Driving Emission bermakna pelepasan asap akan diuji dengan kereta dipandu di atas jalan raya, bukan lagi diuji di dalam makmal dengan kereta tidak bergerak. Ujian ini juga dibuat bagi memastikan kenderaan yang dijual di Eropah melepasi Euro 6D dalam julat parameter yang lebih luas dengan situasi pemanduan sebenar terutama bagi kenderaan berkuasa diesel
Bagi memastikan Golf dapat dijual di seluruh dunia tanpa mengira peraturan pelepasan asap yang digunakan, sebanyak 14 varian Golf berkuasa petrol dan 3 varian diesel dihasilkan (17 semuanya). Daripada ini, 3 varian adalah eTSI (mild hibrid 1.0, 1.5 128hp dan 1.5 148hp), 1 varian 1.4 TSI eHybrid dan 1.4 GTE (Plug in hybrid). Ya 5 varian hibrid dihasilkan dan semuanya ditambat dengan transmisi 7 kelajuan DSG.
Selain daripada ini hanya ada 1 pilihan transmisi iaitu manual (5 atau 6 gear) dan 8 kelajuan automatik hanya unik untuk pasaran Malaysia dan Australia. Atau mungkin juga untuk mana-mana negara yang masih tersekat dengan peraturan pencemaran asap Euro 5 yang telah diperkenalkan semenjak tahun 2009 lagi kerana Singapura menggunakan enjin 1.5 eTSI Mild Hibrid
Dari segi prestasi enjin 1.4 TSI dan juga 1.5 TSI masing-masing menghasilkan 148 kuasa kuda dan 250Nm tork. Namun bagi pasaran yang sensitif dengan pencemaran asap, enjin 1.5 TSI ini datang dengan Active Cylinder Management bagi enjin 1.5 manakala bagi enjin yang lebih kecil dari 1.5 ia menggunakan kitaran enjin Miller Turbo
Enjin eTSi juga datang dengan sistem Mild Hybrid serta sistem brek regeneratif yang dipadankan dengan ECU khusus untuk transmisi DSG. Kuasa bateri yang terhasil akan disimpan dalam bateri 48 Volt Lithium Ion yang akan membekalkan kuasa elektrik kepada sistem elektrik 12 Volt dan juga menghidupkan sistem Start/Stop starter generator
Sekiranya enjin 1.4 TSI untuk pasaran Malaysia mahu menggunakan transmisi DSG, ia tidak semudah membuang sistem mild hybrid daripada system kerana transmisi, sistem start stop, ECU dan segala mak nenek komponen kerana talaan enjin dan transmisi DSG perlu dikaji & ditala semula. Paling baik kahwinkan saja enjin ini dengan transmisi 8 kelajuan automatik
Ini disebabkan enjin 1.5 dan transmisi DSG sudah dihasilkan dan ditala khusus untuk teknologi hibrid dan bukan boleh ditukar dengan transmisi 8 kelajuan automatik dengan mudah. Bagi pasaran Australia, enjin dan transmisi 8 kelajuan ini berupaya menggunakan petrol pada 17km per liter namun sestengah rebiu Australia memberikan bacaan serendah 18.8 km per liter
Transmisi 8 kelajuan ini bukanlah transmisi murahan sebaliknya ia dihasilkan oleh Aisin, iaitu anak syarikat Toyota yang turut membekalkan pelbagai transmisi seperti Direct Shift CVT 10 kelajuan Lexus, CVT, 6 kelajuan automatik dan pelbagai jenis transmisi lagi. Transmisi 8 kelajuan automatik ini juga turut digunakan oleh BMW/Mini, DS Automobile, Geely, GM Jaguar, Lexus, Peugeot dan Volvo.
Malah transmisi ini juga telah digunakan oleh Volkswagen di pasaran Amerika semenjak tahun 2017 lagi bagi model Tiguan, Atlas, Arteon, dan Jetta. Siapa tak kenal dengan Aisin kan, kalau transmisi mereka cukup lasak bagi kegunaan Toyota dan Lexus, apa salahnya ia digunakan bagi Volkswagen Golf. Anda pun senang hati.