Buletin

NAK KERETA ELEKTRIK MAMPU MILIK? INI ID. LIFE DARI VW

Satu cabaran untuk memperluaskan pemilikan kenderaan elektrik (EV) ialah harga jualan yang perlu menjangkau ramai pembeli. Setakat ini tiada lagi model global EV yang boleh dikatakan sebagai mampu milik. 

Usahkan EV, kereta hibrid pun masih di luar kemampuan pembeli kebanyakan.

Melihat kepada senario tersebut perlu ada pengeluar yang mengambil tanggungjawab dan tidak boleh mengharapkan rebat atau insentif dari kerajaan semata.

Di sebalik harga tinggi di pasaran sekarang sudah ada beberapa model global yang dijual pada lingkungan harga GBP20,000 – GBP30,000 (RM114,000 – RM171,478) seperti Nissan LEAF, Honda e dan Peugeot e-208.

Selepas ini ada sebuah lagi model baharu dari pengeluar terkemuka dunia. 


Volkswagen mempertontonkan kereta konsep ID. LIFE di Pameran Antarabangsa IAA MOBILITY 2021 di Munich, Jerman dan model sebenar akan dijual pada harga anggaran EUR20,000 (RM98,102). 

Ini sebenarnya adalah sebahagian dari strategi ACCELERATE iaitu program transformasi mobiliti elektrik yang mampu dimiliki oleh lebih ramai pengguna menjelang tahun 2025.

Program ini dipercepatkan dua tahun lebih awal dari perancangan asal.

ID. LIFE adalah sebuah kereta elektrik kecil untuk persekitaran urban dengan fokus pada pelanggan muda dan mempunyai ciri menarik seperti boleh dijadikan panggung wayang mini, tempat permainan elektronik atau berehat di kawasan terbuka.

Reka bentuk I.D LIFE tampil ringkas dan tidak mempunyai garisan badan komplikated dan menariknya dilengkapi bumbung boleh buka jenis tekstil yang dibuat menggunakan kaedah kebuk udara (air chamber) seterusnya mengurangkan berat kereta.

ID. LIFE menggunakan platform modular elektrik matrik (MEB) yang lebih kecil dan dibangunkan khusus untuk segmen kereta kecil. Model ini adalah yang pertama menggunakan platfrom MEB dengan pacuan depan.

Motor elektrik I.D LIFE mempunyai kuasa 172 kW (234 PS) dan mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.9 saat.

Bateri dengan kapasiti 57 kWh pula boleh digunakan untuk dipandu sejauh 400 kilometer (standard WLTP).

Sesuai dengan konsep kenderaan mesra alam, ID. LIFE menggunakan bahan semula jadi dan kitar semula.

Sebagai contoh, lapisan clear pada cat kereta menggunakan serpihan kayu sebagai pewarna semula jadi dan juga pengeras berasaskan biologi.

Tekstil untuk bumbung dan penutup hud menggunakan 100 peratus botol PET yang dikitar semula.

Pada bahagian dalaman, riasan kayu pada papan pemuka dan kerusi belakang dipadan bersama balutan kerusi dari kain mikrofiber ArtVelours Eco.

Lagi bahan semula jadi ialah minyak bio, getah asli dan sekam padi dan menariknya digunakan di dalam pembuatan tayar ID. LIFE.

Tidak hanya memberi fokus kepada alam semula jadi, ID. LIFE juga dibina dengan pelbagai ciri gaya hidup dan dilengkapi konsol permainan, projektor dan skrin tayangan pada papan pemuka.

Pelbagai peranti boleh disambungkan dengan soket elektrik berkuasa 230 volt/16 amp.

Selari dengan perkembangan teknologi digital, cermin luar dan dalam digantikan dengan kamera manakala fungsi utama pemanduan dikawal melalui skrin sentuh pada stereng.

Peranti peribadi seperti telefon pintar atau tablet boleh digunakan untuk operasi sistem navigasi dan bahan dalam storan seperti muzik, filem dan permainan boleh ditayangkan pada skrin yang dikeluarkan dari papan pemuka.

Dari segi praktikaliti, kerusi depan boleh dilipat sepenuhnya dan sama untuk kerusi belakang. Fungsi tersebut memudahkan penumpang untuk berbaring sambil menonton atau berehat.

Volkswagen sememangnya mempunyai perancangan besar dalam mobiliti elektrik.

Menjelang tahun 2030, Volkswagen mahu meningkatkan angka jualan model elektrik dalam keseluruhan jualan kenderaannya di Eropah kepada sekurang-kurangnya 70 peratus dan 50 peratus di Amerika Utara dan China. 

BACA: VOLKSWAGEN GOLF MK5 R32. LAYAK ATAU TIDAK MENGGUNAKAN NAMA R32 ?

BACA: VOLKSWAGEN POLO GTI 2021. 204HP, ADA PILIHAN CHASIS PRESTASI

BACA: VOLKSWAGEN GOLF R MK8, BOLEH CUCI KAKI TERUS!

Google ads
Back to top button