Buletin

LEAPMOTOR C01 – SEBUAH LAGI SEDAN EV DARI NEGARA CHINA, 542 HP, JARAK GERAK 717 KM

Leapmotor merupakan sebuah lagi jenama automotif EV yang lahir dari negara China, dan mereka baru-baru ini tampil dengan sebuah sedan berkuasa elektrik yang dinamakan sebagai C01.

Menurut laporan daripada CarNewsChina, jenama Leapmotor telah pun bertapak sejak beberapa tahun yang lalu, namun ia telah berjaya mengedarkan sejumlah 9,087 unit kenderaan di pasaran China.

Malah sepanjang bulan April 2022, jenama itu dilapor telah menjual kenderaan sebanyak enam kali ganda berbanding jenama Tesla.

Dari segi spesifikasi, sedan elektrik C01 ini dikatakan mampu memecut sepantas tiga saat dari 0-100 km/j, terima kasih kepada unit trenkuasa 542 hp, dipadankan dengan pek bateri 90 kWh yang membenarkan jarak maksimum sejauh 717 km.

Terdapat sehingga lima varian yang akan ditawarkan, di mana versi asas masih lagi mampu menawarkan jarak operasi sejauh 500 km.

Ruang kabin pula menempatkan susun atur sehingga tiga skrin yang berbeza dengan menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 8155, sementara konsol tengah pula menampilkan rekaan yang minimalis tanpa kehadiran butang fungsi, diikuti dengan sistem pencahayaan ambien.

Rekaan luaran mengutamakan aspek aerodinamik seperti rekaan pintu tanpa rangka, pemegang pintu tertanam, diikuti dengan garis bumbung yang melandai ke belakang, menjadikan kadar pekali seretan C01 hanyalah serendah 0.226 sahaja.

C01 membawakan ukuran sepanjang 5,050 mm, lebar 1,902 mm, tinggi 1,509 mm dengan jarak antara roda sepajang 2,930 mm dan ruang kargo sebesar 496 liter.

Harga jualan Leapmotor C01 ini bermula dari RMB180,000 (RM116,551) sehingga RMB270,000 (RM174,827). – CarNewsChina

Google ads
Back to top button