Buletin

ALPINE A110 R FERNANDO ALONSO, RINGAN, LAJU DAN TERHAD!

Fernando Alonso merupakan seorang pelumba ikonik. Dua kali juara Formula 1, tinggalkan F1, menang dua kali Perlumbaan 24 Jam Le Mans dan menang 24 Jam Daytona dan kembali semula ke F1.

Walaupun berusia lebih 40 tahun, Fernando Alonso masih menunjukkan kehandalannya mengendalikan jentera F1 dan bersaing dengan pemandu muda.

Kepada para peminat ada sebuah model istimewa iaitu Alpine A110 R Fernando Alonso dan dikeluarkan dalam jumlah terhad 32 unit.

Model ini sebenarnya adalah lanjutan kepada Alpine A110 R yang baru sahaja dilancarkan dan dilengkapi pelbagai ciri eksklusif. Ianya juga menerima kepakaran dan input berharga daripada Fernando Alonso.

Sama tapi tak serupa dengan A110 R

Pertama sekali, model ini tampil eksklusif dalam warna Racing Matte Blue yang digunakan pada kereta lumba F1 A522.

Skema warna itu diubah mengikut input Fernando Alonso untuk impak yang lebih sporti.

Bahagian depan dan belakang bonet gentian karbon diwarnakan separuh dalam warna Racing Matte Blue dan Deep Black berbanding kemasan gentian karbon penuh pada A110 R.

Bahagian belakang kereta lebih gelap dengan bahagian atas nombor pendaftaran warna hitam dan saduran anod hitam pada tiang spoiler.

Warna jingga pada angkup brek pula dibuat sebagai perakuan kepada warna bersejarah Fernando Alonso.

Lagi perincian dibuat pada lingkaran roda berwarna kelabu, bendera biru, jingga, kuning pada cermin sukuan belakang dan tandatangan Fernando Alonso.

Pada bahagian dalam, tema warna jingga diteruskan pada tali penarik pintu dan sudut atas stereng dan berlawanan dengan kemasan microfiber pada keseluruhan dalaman.

Tandatangan pelumba itu ditanam pada kerusi dan warna biru, jingga, kuning ditempatkan pada panel pintu sebagai tanda kerjasama di antara kedua-dua pihak.

Petikan kata yang mewakili falsafah Fernando Alonso terpampang pada pelindung matahari dan berbunyi “There is more than one path to the top of the mountain”.

Suspensi boleh laras untuk feel Fernando Alonso

Sudah namanya Fernando Alonso mestilah juga mempunyai rasa pemanduan ala pelumba jagoan.

Model ini mempunyai sistem pelarasan unik supaya ketinggian kereta dapat diubah dan ketegaran suspensi boleh dilaras dengan mudah dan cepat.

Melalui beberapa langkah cepat dan mudah, satu pelapik (shim) pada bawah gegelung membolehkan kedudukan gegelung diubah dan kereta direndahkan sehingga 10mm untuk pemanduan di litar.

Pada masa yang sama, ketegaran suspensi ditingkatkan kepada lima peratus.

Inovasi yang dipaten oleh Alpine membolehkan pemandu menikmati tetapan litar dan diperakui oleh Fernando Alonso sendiri di litar F1 Barcelona.

32 unit terhad, 32 kali kemenangan

Sebanyak 32 unit sahaja Alpine A110 R Fernando Alonso dikeluarkan dan juga sebagai tanda penghormatan untuk 32 kemenangan tempat pertama yang diraih beliau di dalam F1.

Satu plat khas dipasang pada konsol tengah dengan rekod litar dan tahun kemenangan beliau.

Pembeli bertuah juga akan menerima topi keledar replika perlumbaan Fernando Alonso yang ditandatangani oleh beliau sendiri.

Spesifikasi Alpine A110 R:

  • Enjin 1.8 liter 4 silinder
  • 300 hp, 340 Nm dari 2,400 hingga 6,000 rpm
  • Nisbah berat dan kuasa 3.6 kg/ps
  • 0 – 100 km/j dalam masa 3.9 saat
  • Kelajuan maksimum 285 km/j
  • Berat (kerb) 1,082 kg
  • Brek Brembo dengan cakera komposit depan dan belakang
  • Roda gentian karbon 18 inci
  • Tayar semi slick Michelin Pilot Sport Cup 2 Connect saiz 215/40 di depan dan 245/40 di belakang
  • Kerusi gentian karbon Sabelt®

BACA: POLIS PERANCIS TERIMA DUA UNIT AWAL KERETA PERONDA ALPINE A110S

BACA: RENAULT R5 TURBO 3E – INTERPRETASI EV MODEN VERSI HOMOLOGASI

Google ads
Back to top button