Buletin

ALPINE A110 S ENSTONE EDITION, 300 UNIT TERHAD, RM430 RIBU!

Sempena Grand Prix Formula 1™ British di Silverstone Alpine memperkenalkan edisi terhad A110 S Enstone Edition.

Model itu dibuat bagi meraikan kecemerlangan dan kebolehan dua kilang Alpine di Enstone, United Kingdom (F1) dan di Dieppe, Perancis (A110).

Berapa yang dikeluarkan? 300 sahaja dan setiap satu berharga 85,000 euro (RM430,281).

A110 S Enstone Edition dilayangkan warna eksklusif Matt Gunmetal dengan pilihan kelabu kusam gelap Gris Tonnerre dan kemasan cerah Argent Mercure dan bumbung hitam kusam.

Bagi mengimbas warisan British, bumbung kereta tampil dengan bendera Union Jack dalam pilihan kilat atau tona kusam di atas hitam. Kombinasi itu ciri standard di UK dan pilihan di Perancis dan pasaran lain.

Imej elegan diserlahkan lagi dengan rim hitam kusam GT Race saiz 18 inci dan angkup brek Brembo® warna perak. Pembeli diberi pilihan kit aero dan panel sukuan belakang karbon dengan bendera.

Bahagian dalam dilengkapi kerusi Sabelt Racing® dengan sulaman Enstone Edition.

Satu keistimewaan pada model ini bahan karbon untuk kereta lumba Alpine turut digunakan di dalam A110 S Enstone Edition.

Bukan sahaja bahan, perkakasan reka bentuk, acuan dan autoklaf di kilang Alpine F1 digunakan untuk membuat komponen dalaman kereta edisi terhad ini. 

Di antaranya penghadang matahari dengan corak anak panah A dan konsol tengah yang memaparkan logo Pasukan F1® BWT Alpine.

Lagi tanda istimewa ialah plak dengan nombor 1 hingga 300 dan setiap pemilik akan menerima sijil ketulenan dari kilang Enstone yang ditanda tangan oleh Pasukan F1® BWT Alpine.

A110 S Enstone Edition digerakkan enjin 1.8 liter turbo TCE M5P yang boleh ditemui di dalam Renault Megane IV RS280 namun dengan berat kuasa dan ketangkasan berbeza.

Dari segi susunan, A110 S berada di atas A110 dan di bawah A110 R yang masing-masing mempunyai pakej berlainan.

A110 S Enstone Edition menghamburkan 300 bhp dan pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 4.2 saat. Kelajuan maksimum dengan kit aero mencecah 275 km/j.

Daya pecutan itu lebih pantas berbanding Renault Megane IV RS280 dengan berat A110 S beratus kilogram lebih ringan.

BACA: ALPINE A290_β, KERETA ELEKTRIK DENGAN KERUSI DI TENGAH!

BACA: ALPINE A110 R FERNANDO ALONSO, RINGAN, LAJU DAN TERHAD!

BACA: RENAULT R5 TURBO 3E – INTERPRETASI EV MODEN VERSI HOMOLOGASI

Google ads
Back to top button