Buletin

KERJASAMA LOTUS, ALPINE DIBATALKAN – PROJEK KERETA SPORT EV TERHENTI

Automotive News Europe baru-baru ini melaporkan bahawa kerjasama antara Lotus dan Alpine untuk membangunkan kereta sukan elektrik telah dibatalkan.

Terdahulu, perkongsian berkenaan diumumkan pada 2021 yang turut membabitkan sejumlah bidang kerjasama termasuk memanfaatkan sumber, kepakaran serta kemudahan entiti masing-masing di Perancis dan UK.

Meskipun tidak didedahkan punca terbatalnya kerjasama antara Lotus dan Alpine, laporan menyatakan Renault mahu membangunkan platform kereta sukan elektriknya sendiri untuk Alpine kerana firma Perancis itu percaya ia mempunyai kepakaran EV mencukupi.

“Kami memutuskan untuk tidak meneruskan (kerjasama) ini. Ini adalah keputusan bersama yang dicapai secara baik, dan kita melihat peluang lebih besar di masa hadapan,” kata jurucakap Alpine.

Selain pembinaan model sukan elektrik, di mana ia akan menjadi pengganti A110, kerjasama ini turut melibatkan rancangan pengeluaran model segmen B elektrik berdasarkan platfom CMF-B EV serta crossover segmen C, dibina di atas CMF-EV.

Buat masa ini, A110 generasi semasa dikuasakan oleh enjin 1.8 liter 4 silinder, menghasilkan 300hp, tork 340Nm, daya pecutan 0 – 100 km/j dalam masa 3.9 saat manakala kelajuan maksimum dihadkan pada 285km/j.

Google ads
Back to top button