
ALPINE A290_β, KERETA ELEKTRIK DENGAN KERUSI DI TENGAH!
Alpine semakin berkembang dari sebuah model kepada tiga buah model baharu di bawah nama Dream Garage. Tiga model itu terdiri daripada kereta sport kompak, crossover grand tourer (GT) dan pengganti A110 di pasaran.
Kesemua model itu digerakkan nadi elektrik. Bagi menambah keterujaan, Alpine memperkenalkan kereta demonstrasi A290_β dan menariknya menggunakan kerusi di tengah!
A290_β adalah bayangan kereta produksi A290 yang bakal menduduki segmen B kereta sport dan secara amnya direka untuk kegunaan di bandar.

Penggunaan nama A290 membawa maksud tersendiri dengan huruf A sebagai permulaan dan diikuti tiga angka.
Angka 2 merujuk kepada segmen B dan 90 mewakili siri model gaya hidup Alpine pada masa akan datang.
Alpine tidak memperincikan tentang ciri teknikal kereta ini kecuali dua motor elektrik di depan dan pengaruh kuat dari dunia perlumbaan.

Menariknya, A290_β diluluskan oleh FFSA (Fédération Française du Sport Automobile) untuk digunakan di litar.
Dari segi rekaan, Alpine memaklumkan bahagian luar kereta ini hampir menyamai A290 yang bakal dijual kepada umum.
Reka bentuk yang bergaris dan berkotak mengingatkan kepada hatchback era terdahulu selain kereta rali Kumpulan B.

Masakan tidak, kedua-dua Renault dan Alpine mempunyai warisan hebat melalui Renault 5 Alpine. Untuk era baharu, A290 dibangunkan dari Renault 5 elektrik yang akan dilancarkan nanti.
Dari segi dimensi, A290_β berukuran 4.05 meter panjang, 1.85 meter lebar dan 1.48 meter tinggi. Badan kompak itu digabungkan pula dengan rim 20 inci!
Model produksi A290 dibangunkan dari platform CMF-B EV Alliance (Renault Nissan Mitsubishi).

Menjengah ke bahagian dalam, Alpine membawa konsep dengan kerusi di tengah ala kereta lumba dan siap dilengkapi rangka keselamatan.
Di sisi kanan dan kiri ada dua kerusi dan bentangan itu hanya dibuat untuk A290_β dan bukan model produksi.
Rekaan stereng kereta ini dipengaruhi model lumba Alpine LMP2 A470 dan Formula 1 A523.
Beberapa tetapan kereta boleh dikawal terus melalui butang pada stereng termasuk butang OV (overtake) warna merah yang memberikan lonjakan kuasa selama sepuluh saat.

Untuk pemanduan ada tiga mod iaitu Wet, Dry dan Full. Di dalam keadaan litar yang basah, respon kereta lebih lembut dengan lebih cengkaman dan stabil.
Di dalam mod Dry, tingkah laku kereta langsung berbeza dengan lebih gelinciran dan tidak balas roda juga lebih agresif.
Pilihan mod Full pula seperti butang OV dengan memanfaatkan keseluruhan kuasa motor elektrik.

Untuk sistem ABS, ada 11 tetapan dengan respon berbeza mengikut tahap cengkaman jalan.
Dari segi pengendalian, kereta ini dilengkapi gandar belakang jenis pelbagai pautan (multi-link) dan ciri menarik untuk sebuah kereta segmen B.
Satu lagi perkakasan menarik ialah set brek Brembo dengan angkup empat omboh yang sama seperti Alpine A110.
Kehebatan sebenar model ini boleh disaksikan selepas Alpine A290 dilancarkan pada 2024.

BACA: ALPINE A110 R FERNANDO ALONSO, RINGAN, LAJU DAN TERHAD!
BACA: POLIS PERANCIS TERIMA DUA UNIT AWAL KERETA PERONDA ALPINE A110S
BACA: RENAULT R5 TURBO 3E – INTERPRETASI EV MODEN VERSI HOMOLOGASI



















