BuletinMotosikal

APA ITU DCT PADA MOTOSIKAL? 10 TAHUN HONDA GUNA

Di dalam dunia kereta penumpang, teknologi Kotak Gear Tukaran Terus (DSG) digunakan secara meluas oleh Kumpulan Volkswagen. Malah teknologi dua klac sudah sinonim dengan kenderaan buatan Volkswagen.

Bagaimana dengan dunia motosikal? Honda mendominasi dan 2020 adalah tahun kesepuluh sejak Transmisi Dua Klac (DCT) pertama kali digunakan.

Teknologi DCT motosikal Honda digunakan buat kali pertama melalui VFR1200F dan secara keseluruhannya lebih daripada 140,000 unit jentera Honda dengan DCT dijual di Eropah.

Pada tahun 2019 sejumlah 67 peratus Gold Wing, 52 peratus NC750X dan 45 peratus Africa Twins yang dijual di Eropah merupakan versi DCT.

Honda sentiasa menambah baik teknologi DCT dengan perincian pada kelancaran dan pemasaan tukaran gear serta penyesuaian bagi menyamai karakteristik tunggangan yang diperlukan oleh pelbagai model berbeza keluarannya.

Di antara pembaharuan dibuat ialah G switch untuk tunggangan luar jalan raya (off-road) pada Africa Twin dan X-ADV serta sinkronisasi di antara Hill Start Assist, Walking Mode dan Idling Stop pada GL1800 Gold Wing.

Apa itu DCT? Adakah sama seperti CVT?

Transmisi DCT dan CVT beroperasi dengan cara berbeza di antaranya ialah penggunaan klac dan tanpa klac. Secara ringkasnya berikut adalah operasi dan komponen DCT:

  • Terdiri daripada sepasang klac yang berada di dalam satu unit dan setiap satu disambung atau dihubungkan kepada set gear berbeza.
  • Satu bahagian klac (gear 1,3 dan 5), satu lagi klac (gear 2,4 dan 6).
  • Penukaran gear dibuat dalam mod Manual menggunakan ‘padel penukar’ pada sebelah kiri bar hendal.
  • Juga boleh dibuat dalam mod Automatik mengikut pemasaan penukaran berdasarkan ciri-ciri seperti kelajuan motosikal, kelajuan enjin (rpm) dan darjah bukaan pendikit.
  • Tiada tuil pencengkam (klac) atau tukaran gear melalui kaki diperlukan.
  • Semasa penukaran gear, satu klac dilepaskan dan satu lagi secara serentak mendapatkan (engage) gear sasaran.
  • Hasilnya ialah penukaran gear yang konsisten, sangat pantas dan lancar atau bersambung (seamless) tanpa kehilangan pacuan pada roda belakang.

Selain faedah tersebut, DCT membolehkan penunggang untuk fokus pada laluan tunggangan, lokasi membrek, menghadapi selekoh dan pecutan. Turut membantu ialah mengurangkan keletihan penunggang dan tekanan tunggangan di dalam bandar.

Kembali semula kepada soalan di atas, selain komponen dan cara operasi berbeza, karakter DCT lebih kepada prestasi manakala CVT pula cenderung kepada kecekapan operasi atau penjimatan bahan api.

Google ads
Back to top button