Buletin

PADA 2006 HONDA STREAM GEN. 2 DIPERKENAL (MALAYSIA PUN ADA)

Satu ketika dahulu dua model ini bersaing sengit, Honda Stream dan Toyota Wish yang menjadi pilihan pelanggan berkeluarga. Wish masih ada di pasaran manakala Stream pula diganti dengan Honda Jade.

Sebelum digantikan dengan Jade, Stream dibangunkan sehingga dua generasi dan model terakhir dilancarkan di negara kita pada November 2007.

Honda Malaysia memasarkannya pada harga RM149,800 dan Stream terus ditawarkan bertahun selepas itu termasuk model RSZ dan rupa baharu.

Di Jepun, Honda mengumumkan penawaran Stream generasi kedua pada 13 Julai 2006.

Seperti generasi pertama, Stream tampil dengan reka bentuk badan rendah dengan tinggi 1,545 mm dan gayaan sebegitu merupakan identiti kenderaan pelbagai guna Honda yang juga digunakan pada Odyssey.

Stream generasi kedua boleh memuatkan tujuh penumpang dan lantai direka rata. Kedudukan itu memberikan keselesaan kepada penumpang manakala pusat graviti rendah membantu dalam memberikan pengendalian cemerlang.

Dari segi rangkaian kuasa hanya ada dua pilihan enjin dan transmisi iaitu 1.8L i-VTEC dan 2.0L i-VTEC.

Enjin 1.8L dipadan bersama transmisi lima kelajuan automatik manakala versi 2.0L mempunyai pilihan tambahan transmisi CVT dengan torque converter.

Kedua-dua jenis enjin ditawarkan dengan pilihan pacuan 2WD dan 4WD.

Dari segi keselamatan, pengguna di Jepun ditawarkan dengan teknologi canggih seperti Intelligent Highway Cruise Control (IHCC) yang mengawal kelajuan kenderaan dan jarak dengan kereta di hadapan.

Teknologi Collision Mitigation Brake System (CMBS) + E-pretensioners pula menggunakan teknologi gelombang radar milimeter bagi mengesan kemungkinan pelanggaran dan membantu mengelak atau mengurangkan impak pelanggaran tersebut.

Ditawarkan pada tahun 2006, ternyata Stream pada masa itu sudah pun dilengkapi teknologi bantuan pemanduan canggih.

Dari segi susunan varian, ada tiga Stream iaitu X (1.8L), G (2.0L) dan RSZ untuk kedua-dua pilihan enjin.

Stream RSZ tampil istimewa dengan kit badan, padel penukar gear, tukaran gear manual tujuh kelajuan (2.0L CVT FWD) dan roda 17 inci.

Karakter pengendalian Stream RSZ lebih istimewa dengan palang penstabil belakang serta kadar pegas (spring) dan redaman (damping) berbeza.

Untuk warna luaran ada tujuh yang ditawarkan iaitu Cool Amber Metallic,  Premium White Pearl, Alabaster Silver Metallic Nighthawk Black Pearl, Neutron Blue Metallic, Royal Blue Pearl dan Milano Red.

Bahagian dalam pula ada tiga pilihan seperti Beige, Chic Brown dan Black khusus untuk varian RSZ.

Berkenaan harga, varian asas Honda Stream X 1.8L 5AT FWD dijual pada ¥1,806,000 manakala varian paling premium Stream RSZ 2.0L 5AT dengan pedal penukar gear berharga ¥2,541,000.BACA: PADA 2015 HONDA JADE DIPERKENAL DI JEPUN, GANTI STREAM

BACA: HONDA STEPWGN 2020, ALTERNATIF KEPADA ODYSSEY

BACA: HONDA RIDGELINE DENGAN GEAR AUTO 9 KELAJUAN!

Kredit foto: Honda

Google ads
Back to top button