
ENJIN DOHC i-VTEC, ENJIN BARU HONDA CITY
Kami telah menulis artikel berkenaan trenkuasa i-MMD bagi Honda City RS sebelum ini dan artikel pada kali ini akan menghuraikan satu lagi enjin yang bakal digunakan pada model bukan RS. Hasil rujukan dan semakan kami mendapati besar kemungkinan terdapat banyak perubahan yang diperkenalkan oleh Honda pada enjin baru ini.
Honda City generasi ke 6 atau GM6 menggunakan enjin L15A7, yang datang dari keluarga enjin Siri L dengan sesaran 1500cc. Walaupun hanya dengan sistem kawalan injap SOHC, namun kuasa yang dihasilkan oleh enjin ini mengalahkan kuasa yang dihasilkan oleh pesaingnya yang menggunakan DOHC dengan 118 kuasa kuda pada 6600 RPM dan 145 Nm pada 4600 RPM
Enjin yang dilancarkan pada tahun 2009 ini lengkap dengan gabungan teknologi VTEC dengan EGR berupaya menghasilkan purata penggunaan petrol sekitar 17.5km bagi setiap liter petrol. Versi ke 7 Honda City menyaksikan enjin ini bakal digantikan dengan varian enjin yang lebih baik yang dikenali L15B yang juga datang dari Siri L

L15B memiliki saiz lejang 89.5mm dan diameter silinder ialah 69mm dengan sesaran keseluruhan ialah 1498mm. Berbeza dengan versi L15A7, generasi baru ini datang dengan mekanisme kawalan injap DOHC yang mempunyai kelebihan mekanikal bagi menjana kuasa yang lebih baik pada RPM rendah serta tork yang sekata pada RPM tinggi.
Enjin ini berupaya menghasilkan 119 kuasa kuda pada 6600 RPM dan 145 Nm pada 4300 RPM. Kuasa ini dicapai dengan penggunaan teknologi VTEC dan VTC (bagi membolehkan proses EGR berlaku). Bagi varian yang dijual di India, ia merekodkan penggunaan petrol sekitar 18.4km per liter. Nisbah mampatan yang digunakan kemungkinan lebih tinggi daripada versi L15A7 yang ditetapkan pada 10.3:1. Besar kemungkinan ia menggunakan nisbah 11.5:1.
Satu perkara yang menjadi tandatanya ialah sistem suntikan bahan api yang digunakan oleh enjin baru ini. Semakan atas talian mendapati enjin dari keluarga L15B menggunakan suntikan bahan api terus (direct injection) dan bagi model ini kami tidak dapat mengesahkan samaada ia menggunakan port injection EFi ataupun direct injection.

Selain daripada itu, jurutera Honda turut menambah baik enjin ini dengan mengurangkan berat aci engkol sebanyak 25% bagi meningkatkan respon enjin. Proses sejukan dalam silinder telah ditambah baik dengan teknologi minyak enjin semburan jet pada bahagian yang bergerak untuk mengalihkan haba serta menghapuskan terus masalah knocking
Di India, enjin ini telah ditala untuk memenuhi syarat pelepasan asap Bharat Stage Emission Stadard atau BS6 yang menetapkan pelepasan gas Nitrogen Oksida (punca jerebu) tidak boleh melebihi 60mg dan pelepasan particulate matter (asap jelaga) tidak boleh melebihi 4.5mg/km. Mungkin ini menjelaskan mengapa enjin ini hanya menghasilkan 119 kuasa kuda.
Bagi pasaran Malaysia, enjin ini sekali lagi akan digandingkan dengan tranmisi CVT yang ciri 7 gear maya yang boleh dipilih menerusi penukar gear di stering. Sayang sekali kita tidak mendapat pilihan gear manual 6 kelajuan seperti yang ditawarkan di pasaran India