
BAIK MENGAKU SIAPA PUNYA CELICA NI – MANA KAU DAPAT IDEA NI
Berita tentang Toyota Celica memang sedang hangat di seluruh dunia. Lebih-lebih lagi bila model sports ikonik ini bakal diproduksikan semula. Cuma kami pasti yang ia masih kekal sebagai sebuah model sports dan bukannya menjelma sebagai SUV macam dalam gambar ni. Tapi pujian harus diberikan kepada pemiliknya kerana kreativiti walaupun hasilnya kelihatan macam kuih akok tak jadi.

RAV4 yang pelik ini ditemui di Providence, Rhode Island dan diasaskan daripada RAV4 generasi pertama. Ini bermana ia boleh dikatakan sebaya dengan Celica generasi keenam yang juga dikeluarkan pada penghujung tahun 90an. Siapa tak kenal dengan bahagian hadapan Celica yang cukup popular dalam perlumbaan WRC.
Celica 1990 memang unik dengan enjin 2.0 liter dan 2.2 liter. Lampu utama berbentuk bulat seolah-olah mata katak memang membezakannya berbanding Celica terdahulu. Ia tidak kelihatan agresif tapi lebih kepada unik macam kami katakan tadi. Lebih pelik bila ia dicantumkan dengan sebuah Toyota RAV4.

Bukan hanya panel hadapan dan lampu. Pemilik RAV4 ini juga turut memasang sekali bampar Celica di bahagian bawah. Tapi percayalah, tengok dari sudut mana pun orang akan tahu yang ini bukannya sebuah Celica.
Spesifikasi Celica baharu belum didedahkan oleh Toyota tapi sudah tentu ia tidak akan kelihatan seperti ini. Syukurlah, kalau tak silap-silap memang naya cucu cicit Akio Toyoda kena kutuk.







