
TOYOTA CELICA HIDUP SEMULA? PENGEDAR SUDAH LIHAT, PEMINAT MASIH TERTANYA!
Desas-desus mengenai kelahiran semula Toyota Celica kembali hangat, dan kali ini bukan sekadar khabar angin kosong.
Beberapa pengedar Toyota dilaporkan telah dipertontonkan dengan bahan konsep dan prototaip yang sedang dibangunkan, termasuk ujian terhadap trenkuasa baharu.
Namun, walaupun bayangnya sudah kelihatan, model ini masih belum mendapat lampu hijau untuk dipasarkan, sekurang-kurangnya di Amerika Syarikat.
Naib Presiden Kanan Perancangan Produk dan Strategi Toyota Motor North America, Cooper Ericksen, mendedahkan bahawa mereka “sedang membangunkan satu produk yang berpotensi membawa nama Celica jika segala perancangan berjalan lancar dan mendapat kelulusan.”

Menurut beliau lagi, pembangunan model ini berada pada tahap yang agak matang, namun enggan mengulas lanjut mengenai butiran teknikal.
Apa yang menarik, model ini mungkin tidak akan menggunakan teknologi pemanduan elektrik. Ericksen menjelaskan bahawa mantan Presiden Toyota, Akio Toyoda, percaya bahawa pengalaman pemanduan emosional, terutama dalam produk prestasi GR, sukar ditandingi oleh kenderaan elektrik.
Justeru itu, Celica versi baharu ini berkemungkinan besar mengekalkan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Toyota turut menyangkal ketepatan render tidak rasmi yang tersebar di internet, menandakan reka bentuk sebenar mungkin sangat berbeza daripada jangkaan peminat.

Pembangunan dipercayai dikendalikan oleh pasukan di Jepun, dan wakil Toyota di AS sendiri dikatakan belum mempunyai maklumat terperinci atau memilih untuk merahsiakannya buat masa ini.
Persoalan tentang harga dan kedudukannya dalam barisan GR juga timbul. Ketika Supra bersiap untuk mengundur diri, GR86 masih muda dengan generasi ketiga sudah dalam perancangan. Jadi, Celica mungkin akan mengisi ruang antara dua model itu bergantung pada bagaimana ia diposisikan.
Sebagai imbasan, Celica terakhir yang dijual pada 2005 bermula sekitar AS$19,830 (kira-kira RM93,700) bersamaan kira-kira AS$33,400 (sekitar RM157,800) hari ini selepas diselaraskan dengan inflasi.
Ini hampir sama dengan harga asas GR86 2025, yang bermula dari AS$30,000 (anggaran RM141,800) sebelum caj penghantaran sebanyak AS$1,135 (sekitar RM5,400).





