Buletin

INDONESIA BAKAL GUNA ELECTRONIC ROAD PRICING (ERP), NETIZEN MALAYSIA MAHU SISTEM SAMA DILAKSANAKAN

Indonesia bakal menggunakan electronic road pricing (ERP) sebagai jalan penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas di negara itu.

Kerajaan Indonesia akan melakukan pelbagai usaha dalam menangani kesesakan lalu lintas terutama selepas mendapati jumlah kenderaan persendirian semakin meningkat.

Antara dalam perancangan adalah menambah kemudahan bas Transjakarta serta memaksimumkan pesanan pengangkutan menerusi aplikasi Jaklingko.

Berdasarkan kajian yang dijalankan bersama Badan Pengurusan Pengangkutan (BPTJ) Jabodetabek, pelaksanaan itu mampu mengurangkan kesesakan sebanyak 10 peratus hingga 30 peratus.

Ketua Unit Pengurusan Sistem Jalan Raya Berbayar Elektronik Agensi Pengangkutan DKI Jakarta, Zulkifli berkata pengguna empat roda yang bertukar kepada motosikal mencecah 37 peratus.

Hanya 27 peratus pengguna kereta beralih kepada pengangkutan awam, sementara 17 peratus lagi beralih menggunakan teksi motosikal dan pengangkutan dalam talian.

“Sasaran awal kami adalah untuk menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam, tetapi sebaliknya mereka menggunakan motosikal. Oleh itu, ERP adalah cara terakhir yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Berita tersebut juga mendapat perhatian dari netizen Malaysia yang mempersoalkan ketidakmampuan negara dalam melaksanakan sistem serupa yang dilihat lebih efektif berbanding RFID.

Komen seorang netizen di Twitter, pelaksanaan tersebut memerlukan setiap kenderaan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan standard. Seperti kita ketahui, agak sukar untuk dilaksanakan jika dilihat kepada situasi semasa.

Pengguna Twitter turut memetik akaun Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ciapan mereka supaya kerajaan dapat menyelesaikan serta melaksanakan sistem ERP.

Sebelum ini, pengguna jalan raya mempertikai keberkesanan RFID hingga menyebabkan kesesakan di lorong tersebut berbanding Touch n’Go dan SmartTAG. – Vocket

Google ads
Back to top button