Artikel Pilihan

BETUL KE KOS SERVIS PHEV MAHAL? CHERY PHEV VS CR-V e:HEV VS COROLLA CROSS HYBRID

Ramai bakal pembeli yang sedang mempertimbangkan kereta hibrid atau PHEV bertanyakan tentang kos servis PHEV kepada penulis. Ada yang kata PHEV lagi mahal, ada yang kata bateri susah nak jaga, dan ada pula yang fikir servis hybrid sama saja macam petrol biasa.

Jadi untuk menjernihkan keadaan, penulis meluangkan masa untuk melihat perbandingan kos servis tiga model popular di Malaysia iaitu Chery Tiggo 8 PHEV, Honda CR-V e:HEV, dan Toyota Corolla Cross HEV. Semua model dibandingkan sehingga 120,000 kilometer, sebab di situlah pemilik akan rasa betul-betul kos pemilikan sebenar.

Untuk Chery Tiggo 8 PHEV, jadual servis rasmi menunjukkan ia menggunakan komponen, alat ganti dan jadual servis yang hampir sama seperti kereta petrol biasa. SUV PHEV ini memerlukan penukaran minyak enjin, penapis minyak, penapis udara, palam pencucuh, minyak brek dan sebagainya.

Bezanya, model ini mempunyai beberapa item yang kosnya lebih tinggi, terutamanya cecair penyejuk 4 liter yang harganya sekitar RM399 setiap kali ia perlu ditukar. Coolant ini merangkumi sistem enjin serta beberapa komponen berkaitan sistem elektrik voltan tinggi.

Bila diambil kira semua item dalam interval servis hingga 120,000 km, kos keseluruhan Tiggo 8 PHEV biasanya menjadi yang paling tinggi antara tiga model ini iaitu sekitar RM 8495.2. Walaupun begitu, Chery menawarkan waranti bateri yang panjang sehingga 8 tahun atau 160,000km, yang membantu memberi ketenangan kepada pemilik dalam jangka panjang.

Toyota Corolla Cross HEV pula berada di antara Chery dan CR-V . Toyota memang terkenal dengan hybrid yang ringkas untuk dijaga, dan ini terbukti dalam kos servisnya. Majoriti servis berkala model ini berharga sekitar RM300 hingga RM500 setiap 10,000 km, dengan servis besar dalam lingkungan RM800 ke RM1,200 pada sela masa tertentu.

Palam pencucuh hanya perlu ditukar sekitar 100,000 km, dan coolant untuk enjin serta inverter pula mempunyai jangka hayat yang lebih panjang berbanding banyak PHEV. Kos penukaran palam pencucuh ialah RM 390, ATF Fluid (setiap 80,000km) ialah RM 290 dan penukaran coolant pada 80,000km ialah RM 192.30

Disebabkan pelbagai faktor ini, jumlah kos servis Corolla Cross HEV hingga 120,000 km biasanya berada sekitar RM5918 (dengan andaian pemilik menggunakan minyak enjin 0W-20 setiap kali servis) menjadikannya model kedua paling jimat untuk diselenggara antara tiga SUV ini.

Honda CR-V e:HEV pula merupakan model yang paling menjimatkan dari aspek penyelenggaraan antara ketiga-tiga SUV ini. Servis setiap 10,000 km biasanya antara RM280 hingga RM350, manakala servis lebih besar seperti pertukaran spark plug, brake fluid dan coolant di sekitar 100,000 km hingga 120,000 km akan membawa jumlah keseluruhan ke sekitar RM5116.29.

Kos servis CR-V lebih baik daripada Toyota dan Chery, khususnya apabila melibatkan penukaran komponen mahal seperti cecair penyejuk yang hanya perlu ditukar pada perbatuan 200,000km. Tambahan pula Honda telah memberikan 15% diskaun servis untuk model CR-V e:HEV ini

Bila disusun secara keseluruhan, perbandingan kos servis hingga 120,000 km menunjukkan Honda CR-V e:HEV sebagai model paling menjimatkan, diikuti Toyota Corolla Cross HEV sebagai pilihan pertengahan, dan Chery Tiggo 8 PHEV sebagai yang paling mahal.

Kos tinggi Chery datang daripada beberapa komponen servis yang lebih premium dan frekuensi penukaran coolant dan palam pencucuh yang menaikkan jumlah keseluruhan. Namun, tidak bermaksud PHEV tidak sesuai dibeli. Cuma pembeli perlu bersedia dengan kos penyelenggaraan yang sedikit lebih tinggi, sama seperti mana-mana kenderaan yang mempunyai teknologi lebih kompleks.

Google ads
Back to top button