Artikel Pilihan

KALAU SAGA & AXIA ADA 6 AIRBAG, BOLEH DAPAT 5 BINTANG ASEAN NCAP?

Rasa tidak adil pula melihat Proton Saga varian Standard diuji dalam ujian perlanggaran Asean NCAP. Dengan hanya dilengkapi 2 beg udara, ESC, dan amaran pemakaian tali pinggang keledar di bahagian belakang, Proton Saga Standard hanya meraih skor 4 bintang dalam ujian kemalangan tersebut.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, dengan kerangka yang dihasilkan daripada Hot Press Forming (HPF), High Stress Steel (HSS) dan Advanced High Stress Steel (AHSS), mungkinkah Proton Saga Premium yang dilengkapi dengan 6 beg keselamatan udara dan sistem ADAS yang hampir lengkap meraih skor 5 bintang?

Untuk mencari jawapan kepada soalan di atas, kita perlu melihat terlebih dahulu report penuh yang dikeluarkan oleh ASEAN NCAP. Dalam ujian tersebut, Proton Saga Standard diuji pada kelajuan 64km/jam melanggar Offset Deformable Barrier dengan overlap 40%.

Tujuan offset 40% ialah ASEAN NCAP boleh menguji struktur bukan utama seperti suspension tower yang biasanya tidak dilindungi oleh apa-apa struktur tambahan. Dalam ujian ini, Saga Standard meraih markah 12.98 untuk perlindungan penumpang dewasa.

Bagi markah perlanggaran sisi pula, markah yang diberikan ialah 6.74 menjadikan markah keseluruhan penumpang dewasa ialah 23.72 termasuklah Head Protection Evalution. Walaupun kelihatan agak tinggi dan meyakinkan, kecederaan yang dialami oleh patung ujian ialah agak “membimbangkan”.

Patung ujian hanya dinilai “marginal” atau cukup-cukup makan bagi perlanggaran dari arah depan dan juga sisi kenderaan walaupun dengan semua teknologi bahan yang baru dipasang pada Proton Saga. Sebagai perbandingan adil, Perodua Axia SE yang diuji dalam protokol yang sama turut memberikan skor 4 bintang walaupun tanpa HPF, HSS dan AHSS.

Malah perlindungan pemandu Axia juga lebih yang memberikan penarafan Bagus (Good) dengan warna hijau berbanding dengan Saga hanya mendapat Marginal (Coklat). Dalam perlindungan sisi, Axia mendapat penarafan marginal walaupun tiada bahan yang canggih seperti Saga

Adakah penggunaan 6 beg udara boleh membantu Saga dan Axia mendapat skor 5 bintang? Kenapa ujian tidak dibuat dengan menggunakan Saga Premium dan Axia Advance?

Dalam ujian ASEAN NCAP, agensi ini akan menguji “bare minimum spec” yang ditawarkan oleh pengeluar. Ini bermakna dalam semua varian, jika varian terendah ditawarkan dengan hanya 2 beg udara, varian tersebut akan diuji oleh agensi.

Ia adalah strategi yang adil kepada pengguna yang akan membeli varian yang sesuai dengan poket mereka, bukannya varian premium dan advance. Bukannya yang diiklankan ialah 5 bintang tapi varian mahal tetapi pengguna hanya mampu membeli varian asas. Ini akan memaksa pengeluar menawarkan aspek keselamatan minima yang hampir sama pada semua varian

Sekiranya semua perkakasan keselamatan adalah sama bagi semua varian, barulah varian Advance atau Premium akan digunakan dalam ujian.

Proton Saga ada HPF, HSS dan AHSS tapi dapat 4 bintang. Kenapa Perodua Axia tanpa semua teknologi ini masih dapat 4 bintang?

Dalam penilaian perlindungan orang dewasa (AOP), Saga sebelum ini menunjukkan beberapa kelemahan, khususnya pada bahagian dada dan anggota bawah. Bacaan “Marginal” dalam ujian terdahulu berpunca daripada tekanan dada yang tinggi, pergerakan tiang stereng ke kabin, serta potensi pergerakan pedal yang memberi risiko kecederaan pada kaki.

Jika Proton telah menambah baik load path hadapan, menambah kekuatan titik sambungan struktur atau mengatur semula timing pretensioner dan airbag, Saga berpotensi untuk mendapat markah AOP yang lebih tinggi. Tetapi jika strukturnya sama seperti model terdahulu, peluang untuk mencapai 5-bintang sangat tipis, kerana AOP mempunyai pengaruh besar terhadap skor keseluruhan.

Axia pula tiada Hot Press Forming, tiada High Strength Steel (HSS), jauh sekali Advanced High Strength Steel (AHSS). Namun, apabila dilihat pada prestasi perlindungan penumpang, Axia beraksi dengan lebih baik.

Dalam dunia keselamatan moden, bahan bukan lagi segala-galanya. Apa yang lebih penting ialah bagaimana struktur itu direka. Platform Axia berasaskan DNGA iaitu platform generasi baharu yang dibangunkan sejak awal dengan fokus utama kepada perlindungan kemalangan.

Ia mempunyai laluan tenaga hentaman yang lebih jelas, zon serapan impak yang lebih konsisten dan reka bentuk kabin yang meminimumkan ubah bentuk. Hasilnya, walaupun menggunakan keluli standard, struktur Axia mengawal tenaga perlanggaran dengan lebih teratur berbanding Saga yang masih berasaskan platform lama.

Kecederaan patung Axia

Begitu juga dengan pengendalian bahagian kritikal seperti firewall, lantai kabin dan tiang hadapan. DNGA memanfaatkan reinforcement yang dipasang secara strategik di kawasan yang betul. Tidak semestinya perlu keluli ultra-keras, tetapi lokasi, sudut dan ketebalan dipilih tepat untuk mencapai keputusan optimum.

Walaupun kecil, ruang ruang survival Axia lebih stabil ketika hentaman dari arah depan. Satu lagi kekuatan Axia ialah sistem keselamatan pasifnya. Walaupun hanya dua beg udara, Perodua terkenal dengan tuning pretensioner, load limiter dan masa bukaan airbag yang sangat halus.

Ketiga-tiga elemen ini bekerja serentak untuk menghadkan tekanan pada dada serta memastikan tubuh penumpang diserap tenaga secara terkawal.

Adakah Proton Saga Premium boleh dapat skor 5 bintang dalam ujian kemalangan ASEAN NCAP?

Di atas kertas, Proton Saga Premium ditawarkan dengan kelebihan 6 beg udara, brek AEB yang boleh mengesan motosikal, lane departure warning, blind spot monitoring, RCTA, Rear Collision Warning, Door Opening Warning dan juga Auto High Beam.

Namun begitu agak sukar untuk Saga Premium melepasi skor 5 bintang melainkan Proton mengubah struktur kerangka Saga dengan menambah welding density, menukar load path dan menambah kekuatan struktur depan serta memberikan ciri Lane Keep Assist.

Adakah Perodua Axia Advance boleh dapat skor 5 bintang dalam ujian kemalangan ASEAN NCAP?

Agak susah untuk Axia mendapat skor 5 bintang walaupun dengan menggunakan 6 beg udara. Jawapannya bukan kerana struktur atau perlindungan penumpang yang lemah, tetapi kerana sistem keselamatan aktifnya tidak memenuhi syarat markah penuh di bawah protokol 2021–2025.

Dalam penilaian terkini, elemen paling berat dalam kategori Safety Assist ialah Autonomous Emergency Braking (AEB) yang hanya diberikan pada varian AV sahaj. Ia adalah komponen utama yang memberi lonjakan markah besar dalam penarafan keseluruhan.

Ketiadaan teknologi ini terus menjadikan skor Safety Assist terbantut. Selain itu, satu lagi sistem kritikal yang memberi markah tinggi ialah Lane Keeping Assist (LKA), yang juga tidak wujud pada Axia. Ciri lain seperti Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Warning (FCW) dan RCTA memang membantu menambah markah, tetapi semuanya tidak cukup besar untuk menampung ketiadaan AEB pada semua varian dan juga tiada ciri LKA.

Tambahan pula, sistem ADAS Axia bukan ciri standard, tetapi hanya ditawarkan pada varian AV. ASEAN NCAP mengambil kira varian paling laris dalam pasaran serta keseragaman ciri keselamatan dalam satu barisan model. Bila hanya sebahagian kecil Axia dilengkapi ADAS, markah keseluruhan kategori Safety Assist tetap tidak dapat mencapai ambang 5 bintang walaupun varian premium mempunyai ciri tambahan.

Dua kategori lain yang menentukan keputusan akhir ialah Safety Assist dan Motorcyclist Safety. Bagi kategori Motorcyclist Safety, Axia hanya mencatat markah sederhana kerana sistem pengesanan motosikal dan tiada blind spot khas untuk motor hanya ditawarkan pada varian AV sahaja dan semua ini ialah elemen penting dalam protokol baharu.

Secara keseluruhan, walaupun mendapat skor 4 bintang Proton Saga Standard hanya mendapat skor 66.7% berbanding dengan Perodua Axia SE yang mendapat markah 73.55% disebabkan faktor-faktor yang diterangkan di atas.

Google ads
Back to top button