Artikel Pilihan

QV-E: EV TEMPATAN DENGAN BAAS – SOLUSI HEBAT ATAU BAKAL MENCABAR PENGGUNA?

Perodua baru-baru ini melancarkan model EV pertama mereka, QV‑E (Quest for Visionary Electric Vehicle), menandakan langkah pertama syarikat itu dalam dunia kereta elektrik tempatan. Nama pun cukup futuristik, memberi bayangan Malaysia kini juga mampu menghasilkan EV dengan teknologi tempatan

QV‑E dipasang dengan satu motor elektrik yang menjana 204 hp dan 285 Nm tork, membolehkannya memecut 0–100 km/j dalam 7.5 saat. Bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 52.5 kWh memberikan jarak pemanduan sehingga 445 km mengikut standard NEDC, walaupun dalam penggunaan sebenar julat ini bergantung pada gaya pemanduan dan kondisi jalan.

Kelajuan maksimum QV‑E ialah 165 km/j, tapi sudah mencukupi untuk perjalanan di lebuh raya, manakala kabinnya menampilkan elemen moden seperti skrin infotainment 10.25 inci, instrument digital, stereng sport rata, dan balutan separuh kulit. Kesemua ini memberi pengalaman pemanduan yang selesa dan bergaya untuk penggunaan harian.

Konsep Bateri Sewa (Battery-as-a-Service)

Satu aspek unik QV‑E ialah konsep BaaS, di mana bateri disewa, bukan dijual bersama kereta. Harga kereta dilaporkan sekitar RM 80,000, menjadikannya salah satu EV yang mampu milik di pasaran Malaysia. Namun, pemilik perlu membayar yuran sewa bateri secara bulanan bermula dari RM 275, atau bergantung pada pakej dan penggunaan.

Ini bermakna walaupun harga kereta nampak rendah, kos sebenar penggunaan EV ini termasuk kos penyewaan bateri dan servis berkala. Perodua menerangkan bahawa model BaaS membantu mengurus degradasi bateri dan memastikan prestasi optimum, selain memberi fleksibiliti untuk upgrade bateri atau firmware dari semasa ke semasa.

Bagi pengguna yang baru berjinak dengan EV, harga QV‑E yang bermula pada RM 80,000 memberi peluang memiliki kereta elektrik dengan harga menarik. Namun, seperti EV lain di pasaran tempatan dan antarabangsa, walaupun kos penyelenggaraan tetap ada walaupun sedikit. Ia masih memerlukan servis asas seperti penukaran tayar, penjajaran roda, brek, dan komponen bergerak seperti gear.

Walaupun harga kereta Perodua QV‑E dilaporkan sekitar RM 80,000 dan nampak menarik bagi pembeli baru, kos jangka panjang sebenarnya boleh menjadi lebih tinggi. Ini kerana tambahan sewa bateri bulanan akan terkumpul dari masa ke masa, dan dalam tempoh tiga hingga lima tahun, jumlah kos pemilikan boleh melebihi kereta EV import biasa yang bateri dimiliki sepenuhnya.

Bagi pengguna yang memandu kerap atau membuat perjalanan jauh secara konsisten, kos bateri boleh meningkat lagi kerana beberapa pakej BaaS mengambil kira jarak perjalanan dan degradasi bateri.

Selain itu, konsep BaaS menimbulkan kebergantungan kepada Perodua dan pusat servis rasmi. Semua isu berkaitan bateri perlu diselesaikan di pusat rasmi yang menyediakan perkhidmatan BaaS. Sekiranya lokasi servis jauh atau masa menunggu lama, pengguna berkemungkinan akan rasa terikat dengan ekosistem Perodua.

Buat masa ini, hanya 8 cawangan Perodua sahaja yang menjual dan menyediakan servis kepada model QV-E dengan 2 di Pantai Timur, 3 di Central (Putrajaya, Glenmarie, PJ), 2 cawangan di Utara dan 2 cawangan di Selatan

Tambahan lagi, persepsi bahawa “bateri disewa bukan milik penuh” turut memberi impak kepada pemilik. Ramai orang berasa kurang bebas kerana bateri bukan milik mereka, dan ini boleh menyukarkan proses meyakinkan pembeli walaupun hakikatnya kereta yang dibeli dengan pinjaman bank pun sebenarnya melalui proses sewa beli (hire purchase).

Di sebalik inovasi ini, konsep BaaS juga membawa unsur money talk yang jelas. Dengan kehadiran EV yang kurang bahagian bergerak, servis tradisional menjadi lebih sedikit dan pendapatan Perodua melalui pusat servis seperti penukaran minyak enjin, minyak transmisi, segala pelinciran untuk brek, komponen gearbox dan segala mak nenek yang berkaitan mekanikal akan berkurang.

Penyediaan servis dan penjualan alat ganti sebenarnya menjadi tulang belakang kepada Perodua yang menjana keuntungan besar terutama bagi kereta bersaiz kecil seperti Myvi, Axia dan Bezza. Dengan BaaS, Perodua boleh mengimbangi penurunan keuntungan servis dengan pendapatan berulang dari penyewaan bateri, sambil memposisikan pengguna dalam ekosistem mereka untuk tempoh lima hingga sepuluh tahun.

Selain itu, model perniagaan ini membolehkan syarikat mengawal teknologi bateri, melakukan naiktaraf, dan memastikan ciri keselamatan sentiasa dikemaskini, dan pada masa yang sama harga QV-E nampak lebih mampu milik untuk menarik pengguna baru. Strategi ini mirip konsep printer dan ink cartridge, harga kereta rendah, tetapi consumable seperti bateri mempunyai kos berulang yang membantu mengekalkan aliran pendapatan.

Bagi pengguna, penting untuk memahami bahawa walaupun harga kereta kelihatan rendah, terdapat kos lain yang tidak boleh diabaikan. Yuran sewa bateri secara berterusan, kebergantungan kepada pusat servis rasmi, dan isu resale value berjaya dikekalkan kerana bateri walaupun bukan milik sepenuhnya (akan dijaga dan dipastikan kekal 100% setiap masa) adalah faktor yang boleh mempengaruhi pengalaman pemilikan.

Konsep BaaS boleh menimbulkan cabaran jika pengguna tidak memahami model ini sepenuhnya, dan ini adalah risiko “backfire” yang Perodua sendiri sedar wujud, walaupun mereka mempertaruhkan pendekatan ini kerana pasaran EV tempatan masih kecil dan persaingan belum terlalu sengit.

QV‑E adalah langkah pertama Perodua dalam dunia EV, menggabungkan teknologi moden dengan harga mampu milik sambil mencipta aliran pendapatan baru melalui konsep BaaS. Dari perspektif pengguna, hakikat sebenar ialah walaupun kereta nampak murah, kos bateri dan servis perlu diambil kira, dan pemahaman yang jelas tentang model BaaS amat penting sebelum membuat keputusan membeli.

Ini bukan kelemahan Perodua, tetapi realiti baru dalam dunia EV, yang banyak diamalkan di pasaran global, di mana model bisnes bukan sahaja menjual kenderaan tetapi juga menguruskan teknologi dan keuntungan secara berterusan.

Google ads
Back to top button