Artikel Pilihan

PERJANJIAN KAHWIN DENGAN BATERI PERODUA QV-E. AKU TERIMA NIKAHNYA….

Perodua QV-E hadir dengan satu konsep yang masih baharu untuk ramai pembeli Malaysia dimana anda beli kereta sahaja, tetapi bateri tetap milik Perodua. Ia bukan pelik, cuma model perniagaan ini menggunakan sistem battery leasing berdasarkan prinsip Ijarah.

Dalam konsep ini, Perodua bertindak sebagai pemilik bateri manakala anda hanyalah penyewa sepanjang tempoh perjanjian. Apabila tempoh itu tamat, bateri QV-E mesti dipulangkan semula kepada Perodua.

Tempoh penyewaan bateri LFP ditetapkan selama sembilan tahun bermula pada hari anda menerima kereta QV-E. Selepas habis tempoh tersebut, anda diberi pilihan sama ada mahu menyambung sewaan atau mengambil tawaran bateri baharu dengan SoC yang lebih baik.

Untuk memulakan sewaan, Perodua menetapkan bayaran pendahuluan sebanyak RM825 sebagai deposit tiga bulan. Jumlah ini belum termasuk cukai 8%, tetapi ia bukan wang hangus sebaliknya deposit tersebut boleh digunakan untuk menampung bayaran tiga bulan terakhir, menyelesaikan tunggakan, atau digunakan sekiranya anda mahu menamatkan perjanjian awal. Jika ada lebihan, Perodua akan memulangkannya semula pada akhir perjanjian.

Bayaran bulanan pula ditetapkan pada RM275 (tidak termasuk cukai 8%) dan mesti dijelaskan pada setiap atau sebelum 5 haribulan setiap bulan. Jika berlaku kelewatan, anda akan dikenakan caj penalti sebanyak 1%.

Untuk memudahkan proses pembayaran, anda boleh memilih untuk membayar melalui bank dan agregatkan sekali dengan pinjaman kereta, menggunakan Bank Standing Instruction, atau membuat bayaran terus melalui aplikasi Perodua Mobile.

Sepanjang tempoh sewaan, Perodua memberi jaminan bahawa bateri akan mengekalkan sekurang-kurangnya 70% State of Health (SoH) ke atas. Jika tahap kesihatan bateri jatuh di bawah 70%, Perodua akan menggantikannya dengan bateri lain, dengan syarat tiada tunggakan bayaran dan semua syarat penyelenggaraan dipatuhi.

Sekiranya kerosakan berpunca daripada isu kualiti bateri atau kecacatan pengeluaran, Perodua akan memberikan bateri baru dan tempoh sewaan anda tidak akan berubah. Namun jika masalah terjadi kerana disalah guna oleh pemilik, perjanjian baharu perlu dibuat. Menariknya, sepanjang tempoh ini bateri anda turut dilindungi oleh skim takaful yang diuruskan oleh Perodua sendiri.

Pemilik juga bertanggungjawab memastikan semua syarat penggunaan dipatuhi.

Ini termasuklah membayar sewa bateri tepat pada waktunya, menggunakan bateri hanya pada kenderaan Perodua QV-E sahaja, mengecas mengikut manual yang disediakan, menggunakan peralatan pengecas yang disahkan, serta melakukan semua penyelenggaraan di pusat servis Perodua.

Anda tidak dibenarkan membuka, menjual, memindah milik atau membaiki bateri sendiri, termasuk menukar bateri untuk kegunaan komersial seperti aplikasi pandu seru. Pendedahan bateri kepada banjir, api atau hentaman besar secara sengaja juga dianggap pelanggaran syarat.

Jika berlaku sebarang insiden seperti kemalangan, kereta dicuri, kebakaran, tenggelam air, kerosakan besar atau kereta diisytiharkan total loss, pemilik wajib memaklumkan perkara tersebut kepada Perodua dengan segera.

Selain itu anda hanya perlu memperbaharui takaful QV-E sahaja, manakala takaful bateri diurus sepenuhnya oleh Perodua.

Sekiranya bayaran sewa gagal dibuat selama dua bulan berturut-turut, Perodua berhak menyahaktifkan fungsi bateri secara jauh. Jika tiga bulan berturut-turut tidak dibayar, perjanjian sewaan akan terbatal. Bila syarat-syarat utama lain gagal dipenuhi, jaminan ke atas bateri akan terbatal, Perodua boleh mengambil semula bateri, dan kos pengambilan itu boleh dituntut daripada pemilik.

Apabila kontrak terbatal, bateri mesti ditinggalkan di dalam kereta sehingga pihak Perodua tiba untuk mengambilnya. Kereta juga tidak akan dapat dihidupkan dan anda diberikan tempoh 14 hari untuk menguruskan pemulangan bateri. Jika bateri tidak ditemui di dalam kereta, caj tambahan akan dikenakan dan semua tunggakan dikira sehingga hari Perodua mengambil bateri tersebut.

Bagi pemilik yang ingin menjual kereta pula, bateri tidak boleh dikeluarkan atau dijual secara berasingan kerana ia kekal sebagai hak milik Perodua. Cara yang paling mudah ialah menjual kereta melalui saluran POV (Perodua Owned Vehicle) supaya semua proses dokumentasi dan pemindahan hak penggunaan bateri dapat dilakukan dengan betul.

Dalam situasi di mana bank menarik balik kereta, Perodua akan mengambil bateri terlebih dahulu sebelum berunding dengan pihak bank mengenai langkah seterusnya termasulah membeli semula kereta QV-E daripada pihak bank

Perodua turut menyarankan supaya pemilik menamakan waris terdekat atau wakil yang diberi kuasa untuk menyambung sewaan jika berlaku situasi tidak dijangka seperti kehilangan upaya atau kematian. Ini penting supaya bayaran tidak tergantung dan urusan bateri tidak menjadi beban kepada ahli keluarga.

Kontrak boleh terbatal secara automatik jika kereta QV-E hilang, tidak dibayar selama tiga bulan, ditarik bank, dijual tanpa prosedur yang betul, pemilik diisytiharkan bankrap, atau waris gagal meneruskan bayaran selama empat bulan berturut-turut.

Apabila tempoh sembilan tahun tamat, Perodua akan menawarkan penggantian bateri dengan keadaan lebih baik dan perjanjian baharu akan dibuat. Namun jika bateri anda masih mempunyai kesihatan melebihi 70%, anda boleh terus menggunakannya secara percuma sehingga tahap tersebut jatuh di bawah paras jaminan.

Untuk semua urusan berkaitan perjanjian sewaan ini, hanya beberapa cawangan terpilih menjadi pusat pengendalian, termasuk Perodua Sentral di Petaling Jaya, Glenmarie, Putrajaya, Senawang, Juru, Ipoh 2, Johor Bahru 1, Kuantan dan Kota Bharu.

Baca perjanjian penuh sewaan bateri

Google ads
Back to top button