
EH, KENAPA ADA EV PAKAI TAYAR HAILAK?
Kalau anda dilahirkan dengan mata helang dengan perangai sebagai seorang auditor tak bertauliah anda akan perasan satu perkara yang agak pelik, iaitu beberapa EV “bajet” di Malaysia datang dengan tayar yang dilabel “HT” atau Highway Terrain.
Tayar HT adalah tayar yang mementingkan keselesaan atau Comfort yang biasanya kita jumpa pada Hilux, Triton, Ranger atau pickup dan SUV berat. Lagi pelik apabila melihat sedan elektrik seperti BYD Seal 6 pun dipasang dengan tayar Westlake HT terus dari kilang. Walau bagaimanapu, apabila memahami realiti yang berlaku, ternyata banyak sebab logik yang mendorong pengeluar OEM untuk membuat pilihan sebegini.
Pertama sekali, kenderaan elektrik memang jauh lebih berat berbanding kereta petrol konvensional kerana bateri besar yang dimuatkan di bawah badan kereta. Ini termasuklah komponen seperti motor elektrik, sistem inverter, serta struktur badan yang lebih tebal untuk keselamatan.
Contohnya, BYD Seal 6 mempunyai berat kosong sekitar 1,670 hingga 1,800 kilogram. Jika ditambah dengan penumpang dan barangan, jumlah berat boleh mudah mencapai 2,050 hingga 2,200 kilogram bagi sesetengah varian. Tayar biasa yang direka untuk sedan konvensional biasanya mempunyai load index yang lebih rendah, dan ini tidak cukup untuk menampung beban EV.
Tayar HT, sebaliknya, memang direka untuk beban yang tinggi kerana asalnya untuk pickup dan SUV, jadi ia menjadi pilihan paling mudah dan selamat bagi OEM disebabkan kemampuan tayar ini menampung berat SUV yang lebih besar.
Selain daripada berat kereta, faktor kos juga memainkan peranan penting. EV bajet memerlukan harga yang kompetitif, biasanya di bawah RM100,000 hingga RM150,000, dan penggunaan tayar khusus untuk EV seperti Michelin Pilot Sport EV, Hankook iON Evo, atau Bridgestone Turanza EV boleh menaikkan kos secara signifikan kerana harganya boleh mencecah RM600 hingga RM900 sebiji.
Tayar HT dari jenama seperti Westlake pula adalah jauh lebih murah, sekitar RM230 hingga RM350 sebiji, tetapi masih menawarkan load index tinggi, tahan lama, dan masih selesa untuk kegunaan harian. Dari sudut OEM, jika tayar HT sudah mencukupi untuk menampung berat dan keperluan asas EV, tiada sebab untuk memasang tayar premium yang mahal.
Satu lagi sebab kenapa tayar HT sesuai adalah kerana sidewall yang lebih keras. Kereta elektrik dengan tork tinggi dari awal pecutan, memberikan tekanan yang besar kepada tayar setiap kali memecut. Tayar dengan sidewall lembut mudah haus, panas, dan gagal menampung berat bateri serta tork yang tinggi.
Tayar HT, dengan sidewall tayar yang diperkuat dan struktur yang lebih keras, dapat menahan beban berat dan tekanan pecutan dengan lebih baik. Ini menjadikan walaupun nama “HT” kelihatan janggal untuk sedan elektrik, ciri-cirinya sebenarnya relevan untuk EV.
Selain daripada faktor teknikal, pengeluar juga perlu mematuhi homologation dan syarat kelulusan kenderaan. Semasa proses ujian, aspek seperti jarak brek, bunyi, rolling resistance, keselesaan pemanduan, dan kapasiti beban diukur menggunakan tayar tertentu.
Jika kereta lulus ujian dengan tayar HT, maka pengeluar tidak boleh menukar jenis tayar sesuka hati sebelum dijual. Jika mereka menukar tayar untuk pasaran Malaysia, mereka perlu menjalankan semula ujian homologation yang memerlukan kos tinggi. Jadi, mengekalkan tayar HT dari kilang adalah pilihan paling mudah dan selamat.
Tayar HT sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan untuk EV harian. Ia mempunyai load index tinggi, sidewall yang keras, struktur tahan lasak, kos yang rendah, dan masih menawarkan keselesaan yang memadai untuk pemanduan di lebuhraya dan jalan biasa. Bagi pengguna yang menggunakan EV untuk pergi kerja, perjalanan jarak jauh, membeli-belah, atau menghantar anak ke sekolah, tayar HT sudah memadai dan cukup selamat.
Namun, terdapat juga kekurangan tayar HT pada kereta elektrik. Ia mempunyai cengkaman yang tidak setanding dengan tayar prestasi tinggi, pemanduan di selekoh kurang tepat, road feel terasa agak kosong, dan cengkaman masa hujan sedikit kurang berbanding tayar spesifikasi EV atau performance. Ini bermakna tayar HT lebih sesuai untuk penggunaan harian yang santai, dan bukan untuk pemandu yang ingin menikmati pengalaman pemanduan lebih agresif atau sporty.
Bagi pemilik yang ingin menaik taraf tayar, terdapat beberapa pilihan terbaik yang direka khusus untuk kereta elektrik. Tayar Premium seperti Michelin e.Primacy menawarkan rolling resistance rendah, senyap, dan selesa, sesuai untuk EV berat.
Michelin Pilot Sport EV pula direka untuk EV yang ingin pemanduan lebih sporty dengan cengkaman yang lebih tinggi. Bridgestone Turanza 6 atau versi EV juga sesuai untuk perjalanan jauh dengan handling yang stabil.
Hankook iON Evo pula menyediakan pilihan yang lebih mesra bajet tetapi masih memberi fokus pada kereta elektrik, manakala Continental UltraContact UC7 atau EcoContact 6 pula menawarkan kombinasi keselesaan, jarak, dan menghasilkan bunyi yang rendah. Semua tayar ini boleh disesuaikan dengan rim 17 atau 18 inci seperti yang digunakan pada BYD Seal 6.
Kesimpulannya, ada EV menggunakan tayar HT bukan semata-mata kerana kos, tetapi kerana berat kenderaan yang tinggi, tork besar, keperluan homologation, dan kesesuaian sidewall tayar untuk menampung beban. Walaupun tayar HT mempunyai kekurangan dari segi pemanduan sporty, ia sebenarnya cukup memadai untuk penggunaan harian. Bagi mereka yang mahukan prestasi lebih baik, tayar EV-spesifik menawarkan pengalaman pemanduan lebih stabil, selesa, dan efisien.

