Artikel Pilihan

CHINA & US TAK NGAM. TAPI KENAPA CHINA BAGI TESLA BUKAK SHANGHAI GIGAFACTORY?

Hubungan diplomatik di antara negara Amerika Syarikat dan China bukanlah sesuatu yang mesra sejak beberapa dekad lalu. Perbalahan perdagangan, isu teknologi, sekatan, dan persaingan geopolitik menjadikan kedua-dua kuasa besar itu sentiasa berada dalam keadaan tegang.

Namun, dalam suasana politik yang tidak stabil itu, China membuat keputusan yang kelihatan agak pelik sekitar tahun 2018, dimana negara yang sangat mengawal syarikat asing itu tiba-tiba memberi lampu hijau kepada Tesla untuk membina sebuah kilang gergasi iaitu Tesla Gigafactory Shanghaictanpa perlu berkongsi pemilikan dengan syarikat tempatan.

Keputusan itu bukan sahaja luar biasa, tetapi bercanggah dengan dasar biasa China yang mewajibkan perkongsian modal 50–50 bagi kebanyakan syarikat automotif asing. Jadi persoalannya, mengapa China memilih untuk membenarkan Tesla masuk dengan begitu mudah?

Jawapan mudahnya, kerana China akan mendapat lebih banyak manfaat daripada sekadar sebuah kilang kereta asing. Keputusan itu sangat bersifat strategik, bersandar pada kepentingan ekonomi, agenda teknologi, dan perancangan jangka panjang China dalam dunia automotif elektrik.

Tesla pada masa itu bukan sekadar pembuat kereta sebalinya ia adalah simbol teknologi EV paling maju di dunia. China melihat peluang untuk memanfaatkan kehadiran Tesla untuk mempercepatkan industri EV domestik mereka sendiri dan hari ini telahan mereka benar.

1. China mahu mempercepatkan pembangunan industri EV melalui limpahan teknologi

Pada sekitar tahun 2018 ketika Tesla mula masuk ke Shanghai, industri EV China berada pada fasa pertumbuhan tetapi belum mencapai kematangan teknologi. Mereka memiliki pelbagai syarikat seperti BYD, NIO, Xpeng dan GAC Aion.

Akan tetapi tahap kecekapan bateri, motor elektrik, sistem pengurusan kuasa, dan automasi kilang masih ketinggalan berbanding Tesla. Bagi China, membenarkan Tesla membina kilang bukan sekadar membuka pintu kepada pelaburan asing, tetapi juga membuka pintu kepada pendedahan teknologi baru dari barat.

Dalam dunia automotif, kehadiran syarikat global selalunya menghasilkan kesan limpahan teknologi yang akhirnya menyokong keseluruhan ekosistem industri. Sebagai contoh bakat tempatan meningkat, vendor tempatan menjadi lagi baik, standard kualiti menjadi lebih ketat, dan kompetensi keseluruhan ekosistem pengeluaran berubah.

Apabila Tesla membina kilang di Shanghai, mereka terpaksa melatih pekerja tempatan, menggunakan pembekal tempatan, dan beroperasi mengikut peraturan China. Secara tidak langsung, industri EV China mendapat peluang untuk memerhati dan belajar daripada sistem Tesla yang terbukti sangat cekap dan automatik.

Keputusan berisiko tinggi ini akhirnya terbukti menguntungkan China, kerana beberapa tahun kemudian syarikat seperti BYD dan Li Auto berjaya mengejar dan bahkan mengatasi Tesla dalam banyak aspek.

2. Tesla bersetuju dengan hampir semua syarat strategik yang ditetapkan oleh China

Tidak seperti syarikat GM, Ford, atau banyak syarikat lain dari Barat, Tesla bersedia memberi komitmen kepada peraturan yang ditetapkan China. Salah satu syarat terpenting ialah semua data kenderaan Tesla yang dijual di China mesti disimpan dalam negara tersebut dan tidak boleh dihantar ke Amerika Syarikat.

Peraturan negara China amat ketat dalam aspek keselamatan data, terutamanya data lokasi dan imej yang dikumpul melalui sensor kereta moden. Tesla bersetuju bukan sahaja dengan dasar ini, tetapi juga dengan pelbagai tuntutan lain seperti menggaji tenaga kerja tempatan, menggunakan pembekal China, serta mematuhi undang-undang keselamatan siber negara tersebut.

Kerjasama penuh sebegini jarang berlaku dalam syarikat Amerika, dan China memanfaatkannya. Dengan Tesla tunduk kepada syarat itu, China dapat memastikan kawalan sepenuhnya terhadap data dan operasi syarikat tersebut, sekali gus mengurangkan risiko keselamatan nasional. Dalam masa yang sama, ia membolehkan Tesla beroperasi 100% sebagai entiti miliknya tanpa perlu berkongsi keuntungan dengan syarikat domestik, sesuatu yang dianggap mustahil sebelum ini.

3. Pelaburan gergasi Tesla membawa manfaat ekonomi yang sangat besar

Dari sudut ekonomi, China tidak akan menolak pelaburan bertaraf bilion dolar, apatah lagi yang mencipta puluhan ribu pekerjaan. Gigafactory Shanghai melibatkan pelaburan awal sekitar USD 5 bilion, dengan tenaga kerja ribuan orang serta ekosistem pembekal tempatan yang berkembang pesat untuk menyokong operasi kilang itu.

Selain itu, Tesla menggunakan kilang tersebut bukan hanya untuk pasaran China tetapi juga sebagai hub eksport untuk Eropah, Asia Tenggara dan beberapa pasaran antarabangsa lain. Ini bermakna setiap Tesla Model 3 dan Model Y yang dieksport dari Shanghai membawa masuk hasil dagangan dan meningkatkan imej China sebagai pusat pembuatan EV global.

Bagi kerajaan China, ini satu kemenangan besar yang selari dengan aspirasi mereka untuk menjadi peneraju dunia dalam teknologi hijau. Di tengah-tengah perang perdagangan dengan AS, kemampuan China menarik pelaburan sebesar ini membuktikan bahawa ekonomi mereka masih sangat berpengaruh.

4. Keputusan ini membantu China mengukuhkan kedudukan dalam geopolitik automotif

Dengan membenarkan Tesla masuk, China juga secara tidak langsung memberi tekanan kepada pembuat kereta Amerika lain. Ketika Tesla semakin menguasai pasaran China, GM dan Ford mula kehilangan bahagian pasaran mereka di negara itu. Dalam masa yang sama, Tesla menjadi contoh syarikat AS yang mematuhi semua peraturan China.

Ini memberikan China kelebihan lain seperti mesej jelas kepada syarikat asing bahawa kejayaan di China bergantung pada keupayaan untuk bekerjasama dan mengikuti kehendak kerajaan.

Kemasukan Tesla juga membantu China menunjukkan kepada dunia bahawa ia adalah destinasi teknologi tinggi yang mampu bersaing dengan AS dan Eropah. Dengan mempamerkan kebolehan menghasilkan kereta yang berkualiti tinggi dengan kecekapan global, China mengekalkan reputasinya sebagai kuasa perindustrian yang semakin sukar digugat.

5. Elon Musk sendiri merupakan faktor penting yang memudahkan urusan politik

Tidak dinafikan juga bahawa personaliti dan pendekatan Elon Musk sendiri memainkan peranan besar. Musk jarang mengkritik China malah sering memuji kecekapan tenaga kerja dan kemajuan teknologi negara tersebut. Beliau beberapa kali bertemu pemimpin dan pegawai kanan China, sambil menunjukkan kesediaan bekerjasama dalam jangka panjang.

Ini membuatkan kerajaan China lebih yakin bahawa Musk bukan ancaman politik, dan Tesla boleh menjadi rakan strategik dalam agenda teknologi mereka.

Berbeza dengan banyak CEO Barat yang sering mengeluarkan kenyataan lantang tentang isu demokrasi atau hak asasi manusia, Musk memilih untuk bersikap neutral. Pendekatan ini menjadikan beliau jauh lebih diterima oleh Beijing dan memudahkan proses kelulusan Tesla di China.

China membenarkan Tesla membuka Shanghai Gigafactory kerana ia sejajar dengan kepentingan strategik negara itu dan mempercepatkan pembangunan industri EV domestik, mendapat limpahan teknologi, mencipta pekerjaan dan pelaburan besar, meningkatkan kedudukan geopolitik, serta memberi imej yang China mudah berunding sekiranya anda tidak banyak songeh.

Hari ini, selepas beberapa tahun pembangunan pesat, keputusan China itu ternyata berbaloi. Industri EV tempatan berkembang lebih cepat, syarikat China kini menyaingi Tesla, dan negara tersebut telah muncul sebagai pusat pembuatan EV terbesar dunia. Dengan kata lain, keputusan menerima Tesla adalah langkah taktikal yang memberi pulangan yang sangat besar kepada China, walaupun hubungan dengan Amerika Syarikat tetap kekal tegang.

Google ads
Back to top button