SISTEM LAMPU TINGGI ADAPTIF BLADE SCAN
Salah satu perkara yang akan dinilai oleh penulis semasa memilih untuk membeli kereta baru atau semasa memandu uji kereta baru ialah teknologi lampu yang digunakan oleh pengeluar. Semakin bagus teknologi tersebut, semakin terang cahaya yang dihasilkan, tapi tidak menyebabkan pemandu lain menjadi silau serta menjadikan jalanraya semakin selamat. Macam nak campur air dengan minyak masak, jadikan terang tapi tak silaukan pemandu lain
Kebanyakan kereta di Malaysia masih lagi menggunakan teknologi mentol halogen dan LED (dengan perumah reflektor ataupun projektor). Bagi menggunakan lampu tinggi, sistem lampu akan menggunakan mentol tambahan atau LED tambahan yang boleh dioperasikan secara manual. Sesetengah model seperti Nissan X-Trail Hybrid dan Mazda 6 menggunakan teknologi lampu adaptif di mana sensor digunakan untuk mengesan kehadiran kereta lain dari arah bertentangan dengan menghidupkan dan mematikan lampu tinggi secara automatik
Bagi Lexus pula ia menggunakan 12 sumber cahaya LED bagi menerangi jalan, menghalang lampu dari menyebabkan silau kepada pemandu lain dan pada masa yang sama sistem ini akan menggunakan lampu tinggi dengan optimum. Berdasarkan gambar di atas, lampu Lexus yang menggunakan teknologi BladeScan mampu memilih untuk menerangi permukaan jalan dan pejalan kaki tapi tidak akan menyuluh pada keretadi depan dan kereta yang datang dari arah depan.
Sekiranya Lexus memilih untuk menggunakan teknik yang biasa digunakan oleh mereka, Lexus perlu memasang sehingga 400 unit LED di dalam perumah lampu. Keadaan ini agak mustahil memandangkan ruang yang ada dalam lampu sangat kecil dan kos yang terlibat akan menjadi tinggi. Sebagai penyelesaian Lexus memperkenalkan teknologi BladeScan yang lebih murah dan kompak untuk dipasang pada kereta mereka.
Sebelum adik kakak meneruskan pembacaan, mari kita belajar fizik sekejap berkenaan sifat cahaya. Cahaya hanya boleh bergerak lurus dan boleh dipantulkan dengan menggunakan cermin. Sudut pantulan cahaya boleh diubah dengan menggunakan cermin yang berbeza ketebalan. Jadi Lexus menggunakan konsep ini untuk menggandakan cahaya dan memantulkan cahaya pada sudut yang dikehendaki.
Antara komponen yang dipasang pada Lexus untuk memastikan sistem ini berfungsi ialah:
1. Unit Kamera – yang mengesan punca cahaya lampu dari arah depan dan menghantar maklumat kepada ECU
2. ECU – menerima input daripada kamera dan mengarahkan unit AHS bertindak
3. AHS – bertindak memadamkan lampu LED dan menghidupkan semula LED dalam masa yang cukup pantas
4. Cermin – berputar pada 100 pusingan per saat. Cermin ini direka supaya memiliki ketebalan yang berbeza. Semasa berputar pantulan cahaya dari LED akan dipantulkan pada permukaan jalan. Jika cahaya ini dirakam dengan kamera kelajuan tinggi, kita akan mendapati cahaya akan bergerak dari kiri ke kanan jalan. Namun disebabkan cermin berputar terlalu laju, otak manusia gagal menangkap pergerakan ini dan mendapati cahaya lampu beroperasi seperti biasa.
Katakanlah Lexus ini sedang melalui jalan yang gelap dan menggunakan lampu tinggi adaptif yang menyala dengan terang. Sebaik sahaja ia tiba di belakang kereta lain, ia akan mengesan lampu belakang kereta tersebut. Kamera akan menghantar maklumat tersebut kepada sistem ECU bersama sama maklumat lain seperti halaju kereta, halaju objek dan juga saiz kereta di hadapan bagi menentukan sudut yang sesuai untuk digunakan.
Sebaik sahaja pengiraan di ECU siap, ia akan menghantar isyarat ON/OF pada LED pada masa yang tepat agar pantulan cahaya kepada kereta depan dipadamkan tapi dihidupkan semula pada ruang yang gelap. Padamkan LED pada sudut yang menghala pada kereta dan hidupkan LED pada ruang gelap. Jadi sistem ini secara bijak boleh menerangi ruang yang gelap antara kereta. Lexus mendapati jika mereka bergantung sepenuhnya pada LED, 400 unit LED diperlukan untuk menjadikan sistem ini sempurna.
Kelebihan sistem ini ialah ia mampu mengawal sudut cahaya sehingga 0.7 darjah. Silap haribulan pontianak pun tak berani lalu di depan Lexus RX 450h ini. Teknologi BladeScan ini juga membolehkan pemandu mengesan pejalan kaki atau penunggang basikal sehingga 56 meter berbanding 32 meter dengan sistem lama. Anda boleh klik video di bawah bagi melihat bagaimana spinning mirror berputar, memantulkan cahaya dari kiri ke kanan dan juga LED dipadamkan