Buletin

TOYOTA GR SUPRA HERITAGE EDITION, LAWA KAN?

Toyota Supra adalah model ikonik dengan sejarah selama berpuluh tahun merangkumi empat generasi. Di Amerika Syarikat jualan Supra dihentikan setakat model tahun 1998.

Seperti yang diketahui umum, Supra kini kembali dan ia menarik banyak perhatian sejak dalam konsep lagi. Selain itu satu topik utama mengenai Supra baharu ialah perkongsiannya dengan BMW Z4.

Walaupun mencetuskan perdebatan, mereka yang telah memandu uji Supra mengakui bahawa Toyota telah berjaya menjelmakan semula Supra dalam karakter tersendiri.

Sejurus dijual kepada umum, Supra telah menjadi bahan eksperimen untuk diubahsuai. Sementara menunggu Tokyo Auto Salon, SEMA 2019 menjadi medan untuk pelbagai jenis Supra yang telah diubahsuai dipertontonkan.

Sebuah Supra yang menarik perhatian ialah GR Supra Heritage Edition. Model ini tampil ringkas dengan mengimbas kembali legasi Supra dan menariknya ialah idea dari Ed Laukes, Naib Presiden Kumpulan – Divisyen Pemasaran Toyota Amerika Syarikat.

Beliau telah menugaskan kerja pengubahsuaian kepada Marty Schwerter dari Motorsports Technical Center (MTC) untuk menghasilkan konsep tersebut kepada realiti.

Marty Schwerter bekerjasama dengan Beree Cox Design bagi melakar idea tersebut. Projek ini turut melibatkan kerjasama beberapa pihak lagi seperti LG Motorsports dari Texas untuk splitter depan dan sayap belakang.

MTC dan Cripworks merekabentuk dan memasang diffuser belakang yang memberi keseimbangan aerodinamik kereta.

Tugas mengecat pula diserahkan kepada LA Prep yang mengunakan cat dari PPG dengan warna “Re-Entry Red.” Warna tersebut dengan kit badan hitam berjaya menaikkan keterampilan Supra ini.

 

Satu halangan besar bagi projek ini ialah lampu belakang bulat seperti Supra terdahulu. Marty Schwerter akhirnya menggunakan lensa yang dibuat menggunakan mesin CNC dengan material arkilik.

Precision Turbo & Engine telah mengubahsuai turbo asal bagi menghasilkan 18 peratus lebih aliran udara untuk enjin BMW B58 tersebut.

Bahagian kemasukan dan tengah ekzos berukuran tiga inci membolehkan enjin bernafas lebih bebas manakala Mission Performance membuat kalibrasi semula pada sistem pengurusan enjin.

Enjin pada Supra yang telah diubahsuai ini mempunyai kuasa lebih dari 500 hp.

Tambahan kuasa kuda bermakna cengkaman tayar turut diberi perhatian. MTC bekerjasama dengan Scarbo Performance bagi mereka bentuk inboard rocker arm system baharu bagi menggantikan sistem suspensi roda belakang standard.

Penggunaan tersebut membolehkan kombinasi roda HRE P107SC berukuran 19×11 inci dengan tayar Toyo Proxes R888R 305/30R19 pada roda belakang.

Set depan pula menggunakan roda HRE P107SC berukuran 19×10.5 inci dengan tayar Toyo Proxes 295/30R19.

Jarak di antara tayar dan arka roda dirapat menggunakan suspensi TEIN boleh laras.

Untuk keseimbangan kuasa enjin yang meningkat, angkup monobloc Brembo enam omboh dengan cakera 380mm digunakan pada roda depan manakala brek belakang menggunakan angkup monobloc empat omboh bersama cakera 380mm.

Projek ini akhirnya siap dengan gayaan dan ubahsuai yang memberi penghormatan kepada Supra terdahulu. Ia tidak tampil ekstrem dan tema begini sudah memadai untuk digunakan bagi pemanduan harian.

BACA: APA YANG ANDA NAK TAHU TENTANG TOYOTA ALTEZZA?

BACA: TOYOTA COPEN GR SPORT, MISI MENGIDAM BERMULA!!!

BACA: TOYOTA C-HR FACELIFT, LUARAN RINGKAS KEKAL MENAWAN

Google ads
Back to top button