BuletinMotosikal

BOS KTM TECH3 KECEWA PRESTASI BURUK HAFIZH SYAHRIN

Prestasi buruk Hafizh Syahrin dalam perlumbaan pembukaan MotoGP di Litar Losail, Qatar minggu lalu antara yang menjadi buah mulut peminat motosikal tempatan.

Sejak bertukar jentera dari Yamaha M1 kepada KTM, Hafizh dilihat masih bergelut cuba menyesuaikan diri. Beliau yang menceburkan diri dalam kelas Premier pertama kali pada tahun lalu, prestasinya kali ini adalah yang paling tidak konsisten.

Buat kali pertamanya, Ketua pasukan KTM Tech 3 membuka mulut berterus terang kerana tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap prestasi Hafizh.

“Saya terpaksa berterus terang, saya tidak boleh menyembunyikan rasa kecewa kali ini kerana sejak dari awal lagi Hafizh tidak pernah kelihatan berada dalam posisi yang bagus,” kata Poncharal.

“Kami menamatkan perlumbaan di posisi terakhir. Itupun setelah pelumnba di belakangnya samada terjatuh atau tidak menamatkan perlumbaan (DNF).

“Kami di sini sedang bekerja keras dan bukan untuk mencari kesalahan sesiapa. Namun jurang perbezaan antara dua pelumba KTM Tech3 yang terlalu besar adalah isyarat yang tidak bagus.

“Kami berharap beliau akan bersedia dengan lebih baik untuk pusingan Argentina nanti.

Prestasi terumbang-ambing Hafizh pada perlumbaan pembukaan itu jelas mengecewakan Ketua Pasukan Tech3 itu. Hafizh menghabiskan perlumbaan di tempat ke-20 dengan catatan masa 43 minit 20.144 saat sementara rakan sepasukannya, Miguel Oliveira yang pertama kali berpindah ke kelas Premier mencatat masa 42’53.279s dan berada berada di tempat ke-17.

Sementara itu Hafizh dalam satu status pendek di laman facebook beliau mengakui kelemahannya.

“Alhamdullilah tamat sudah perlumbaan pertama. Bukan ini keputusan yang kami mahu. Ini perlumbaan yang sukar untuk saya mencari rentak.

“Terima Kasih kepada para peminat di Qatar dan Malaysia dan saya menghargai sokongan anda. Saya benar-benar menghargai sokongan anda dan kepercayaan yang diberikan. Saya minta maaf dengan prestasi ini kepada pasukan dan juga penyokong.

Google ads
Back to top button