
KTM 790 RC DALAM PEMBANGUNAN – CEO KTM
Selepas memperkenalkan 990 RC awal tahun ini, KTM mengesahkan akan memperluaskan tawaran model sportsbike ke segmen pertengahan.
Menurut CEO KTM, Gottfried Neumeister, jenama Austria itu akan memperluasakan keluarga RC dengan model 790.
Maklumat terbaru itu pastinya menggembirakan ramai pihak terutamanya yang mengharapkan kehadiran jentera sportsbike dengan harga yang lebih mampu milik.

Baru-baru ini KTM telah pun melancarkan 790 Duke baharu yang menampilkan pelbagai naik taraf termasuk reka bentuk berbanding generasi sebelumnya.
Model yang satu ketika telah dihentikan pengeluaran, kembali ditawarkan setelah KTM memeterai kerjasama dengan CFMOTO yang menyaksikan pengeluar dari China itu menghasilkan model 790 untuk pasaran global.
Ini bermakna, model 790 RC akan datang itu akan turut dikilangkan CFMOTO di China sekaligus bakal hadir dengan tanda harga yang lebih berpatutan.

Pada masa sama, Neumeister, turut mengakui bahawa meskipun KTM sinonim dengan dunia off-road namun segmen street kini menjadi tumpuan utama.
“Segmen ini menjadi cukup penting bagi KTM kebelakangan ini sehinggakan separuh daripada keuntungan datangnya dari model street,” jelasnya.







