Artikel Pilihan

BREK TANGAN ELEKTRONIK FORD – SERLAHKAN NALURI DRIFTER DALAM DIRI ANDA

Ford Performance buat pertama kalinya memperkenalkan Drift Stick serba baru, brek tangan elektronik pertama yang diinspirasikan daripada sukan rali dan dibangunkan khusus untuk Ford Focus RS. Kalau itu belum cukup untuk membuatkan anda merasa hebat, bagaimana dengan piawaian yang diluluskan pakar drift terkenal, Ken Block?

Drift Stick ini direka oleh kumpulan jurutera sama yang telah membangunkan mod Drift untuk Ford Focus RS baru. Ia secara asasnya merupakan sebatang tuil aluminium yang terletak di antara tempat duduk pemandu dan tombol gear manual dan mengawal klac ke roda belakang sambil mengenakan tekanan hidraulik untuk mengunci roda belakang sama seperti sebuah jentera rali sebenar. Tak cukup sejuk (cool) ke macam tu?

Dave Pericak, pengarah global Ford Performance berkata, “Para jurutera Ford Performance bukan sekadar pereka tetapi mereka sendiri merupakan peminat sebenar. Semuanya adalah hasil pemikiran di luar kotak dan hasilnya lahirlah ‘Wicked Stick’.”

Para jurutera ini akan membangunkan banyak lagi produk untuk Ford Performance dan tentu sekali mereka akan memperkembangkan idea seumpama ini ke model-model mainstream Ford yang lain.

Untuk sentuhan terakhir, Ken Block telah memberikan input beliau kepada Ford Performance bagi membolehkan brek tangan elektronik berfungsi dengan cara paling pantas untuk membantu pemandu menggerakkan Focus RS ini bergerak secara mengiring tanpa mengawal klac secara manual.

Block menyatakan yang langkah yang diambil oleh Ford Performance ini memang menarik bagi membantu pelanggan melakukan aksi drift dengan menggunakan Focus RS. Beliau sendiri teruja kerana ini merupakan julung kalinya brek tangan elektronik dilengkapkan pada sebuah model produksi. Semestinya ia akan menjadikan sesebuah kereta itu lebih seronok dipandu.

Berbeza dengan brek tangan hidraulik biasa, Drift Stick keluaran Ford  tidak memerlukan sebarang pengubahsuaian pada Focus RS ini (tak payah tebuk lubang ataupun kimpalan). Ia merupakan teknologi elektronik sepenuhnya. Malah ia juga boleh disambung dengan punca diagnostik dalaman untuk sebarang pelarasan.

BACA: FORD FOCUS RS EDITION, BOLEH LAWAN HONDA CIVIC TYPE R KE TAK NI?

Buat masa ini ia hanya boleh didapati di AS dan juga Kanada dengan kos sekitar USD999 lengkap dengan segala kit, mounting dan litar. Yang tak bestnya ialah ia adalah untuk kegunaan di atas trek sahaja. Tapi kalau tak bagitahu orang lain siapa tahu ye tak? Pak Amid pun rasa nak pasang satu dekat Ford Escort klasik kat rumah.

Google ads
Back to top button