
AI TAK BOLEH HARAP, FORD AMBIL SEMULA RATUSAN JURUTERA KAWAL KUALITI
Ford dilaporkan terpaksa mengambil semula ratusan jurutera berpengalaman selepas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses kawalan kualiti gagal mencapai tahap yang diharapkan syarikat itu.
Menurut laporan Bloomberg, pengeluar automotif dari Amerika Syarikat itu membawa masuk kira-kira 350 jurutera veteran, termasuk bekas pekerja, bagi membantu memperbaiki sistem kawalan kualiti selepas AI didapati belum mampu menggantikan kepakaran manusia sepenuhnya.
Naib Presiden Kejuruteraan Perkakasan Kenderaan Ford, Charles Poon berkata syarikat sebelum ini terlalu yakin bahawa AI mampu menghasilkan produk berkualiti tinggi hanya dengan memproses data dan spesifikasi rekaan sedia ada.
Namun, katanya, Ford akhirnya menyedari pengalaman jurutera lama yang telah melalui pelbagai kitaran pembangunan produk masih memainkan peranan penting dalam memastikan mutu pengeluaran berada pada tahap terbaik.

Langkah itu dilihat berlaku ketika Ford berdepan isu kualiti yang serius, termasuk rekod jumlah panggilan balik kenderaan tertinggi pada tahun 2025.
Walaupun begitu, pengambilan semula pekerja berkenaan mungkin bukan bersifat kekal. Ford dikatakan menggunakan kumpulan jurutera tersebut sebagai “gray beard engineers”, iaitu tenaga pakar yang ditugaskan melatih kakitangan muda serta membantu menambah baik sistem AI supaya lebih cekap menjalankan pemeriksaan kualiti pada masa depan.
Secara tidak langsung, pekerja manusia kini digunakan untuk melatih teknologi yang berpotensi menggantikan tugas mereka sendiri suatu hari nanti.
Ford sebelum ini turut memasang sekitar 900 kamera berasaskan AI bagi mengesan kecacatan dan masalah pada kenderaan.
Walaupun jumlah panggilan balik dijangka menurun pada 2026, jumlah keseluruhan kenderaan yang terlibat masih berpotensi meningkat menjelang hujung tahun.
Dalam perkembangan lain, Ford berjaya menduduki tangga teratas kajian kualiti awal JD Power bagi kategori jenama arus perdana, menunjukkan usaha penambahbaikan syarikat itu mula memberikan kesan positif.
Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley, berkata jurutera yang diambil semula itu sudah membantu syarikat menjimatkan kos operasi dalam jumlah sangat besar.
Bagaimanapun, beliau sebelum ini pernah menyatakan bahawa teknologi AI berkemungkinan akan menggantikan hampir separuh daripada pekerjaan kolar putih pada masa depan.






