Buletin

BUKAN LAGI ‘JIKA’ TAPI ‘BILA’ – KERETA CHINA SEDIA TAWAN AMERIKA SYARIKAT

Persatuan pengedar kenderaan di Amerika Syarikat kini dilaporkan berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan perkembangan terbaharu di Canada yang membuka ruang kepada kemasukan jenama automotif dari China.

 Langkah itu mencetuskan kebimbangan bahawa gelombang sama boleh merebak ke pasaran Amerika Syarikat dalam masa terdekat.

Dalam suasana pilihan model baharu yang semakin berkurangan dan harga kenderaan terus meningkat, sebahagian pengguna Amerika dilihat semakin terbuka terhadap alternatif lebih mampu milik termasuk produk dari China.

Perubahan sentimen ini menimbulkan reaksi keras daripada National Automobile Dealers Association (NADA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mike Stanton, secara terbuka menyifatkan kemasukan pengeluar China sebagai sesuatu yang “buruk untuk industri, negara dan juga pengguna.”

Kenyataan itu menggambarkan kegusaran mendalam dalam kalangan rangkaian pengedar tradisional yang selama ini dilindungi undang-undang francais di peringkat negeri.

Walaupun pentadbiran terdahulu di bawah Donald Trump terkenal dengan pendirian tegas terhadap China, kebimbangan industri kini tertumpu kepada kemungkinan jenama China mencari laluan masuk melalui negara jiran atau pelaburan tempatan.

Stanton turut mendakwa menerima sokongan beberapa ahli Kongres, termasuk Senator Ohio, Bernie Moreno, yang menzahirkan tentangan keras terhadap idea tersebut.

Penganalisis pasaran bagaimanapun melihat isu ini dari sudut berbeza. Sam Abuelsamid dari firma penyelidikan Telemetry berpendapat kebimbangan NADA bukan sekadar soal asal-usul produk, tetapi juga model perniagaan.

Banyak pengeluar baharu cenderung memilih jualan terus kepada pengguna (direct-to-consumer), sekali gus memintas pengedar tradisional — sesuatu yang selama ini ditentang hebat oleh persatuan pengedar.

Di Amerika Syarikat, undang-undang jualan terus berbeza mengikut negeri dan sering menjadi halangan kepada syarikat baharu yang mahu mengelak model francais konvensional.

Namun, jika pengeluar China sanggup mematuhi struktur sedia ada dan bekerjasama dengan pengedar tempatan, ruang itu tetap wujud.

Perkembangan syarikat seperti Carvana yang semakin agresif memperoleh francais pengedar fizikal di beberapa negeri turut membuka kemungkinan baharu.

Dengan jejak operasi yang semakin meluas, platform sebegini berpotensi menjadi pintu masuk strategik kepada mana-mana pengeluar baharu, termasuk dari China.

Dari sudut pengguna pula, data menunjukkan minat terhadap jenama automotif China semakin meningkat.

Penganalisis AutoPacific, Robby DeGraff, menyatakan bahawa produk terkini dari China, sama ada enjin pembakaran dalaman (ICE) mahupun kenderaan elektrik (EV/NEV), kini jauh lebih kompetitif dari segi teknologi, kualiti dan harga.

Isu kemampuan memiliki kenderaan (affordability) menjadi faktor utama. Jika jenama China menawarkan model pada harga lebih rendah, ia bukan sahaja memberi lebih pilihan kepada pengguna, malah memberi tekanan harga kepada pemain sedia ada.

Namun bagi pengedar, kemasukan pesaing baharu boleh menjejaskan margin keuntungan, terutamanya dalam segmen permulaan.

Apa yang jelas, perdebatan ini bukan lagi soal “jika” tetapi “bila”. Dengan pasaran global yang semakin terbuka dan persaingan teknologi kian sengit, tekanan terhadap industri automotif Amerika dijangka terus memuncak — sama ada mereka bersedia atau tidak.

Google ads
Back to top button